MAPIM siap laksana misi bantuan pasca-gencatan senjata di Gaza
- Suara Keadilan

- Oct 19
- 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) kini berada pada fasa akhir penyelarasan bagi menghantar semula misi bantuan kemanusiaan ke Gaza susulan gencatan senjata yang dijangka berkuat kuasa sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar), berkata konvoi pertama bantuan kemanusiaan dijangka dapat digerakkan dalam masa dua hingga tiga minggu selepas laluan darat ke Gaza dibuka dengan selamat.
"Pasukan kami bersedia digerakkan dalam masa 72 jam selepas sempadan Gaza dibuka sepenuhnya. Semua logistik dan kargo bantuan telah disiapkan, termasuk pasukan perubatan, sukarelawan, dan dokumentasi perjalanan.
"Kami juga telah menubuhkan Pusat Koordinasi Operasi Gaza (Gaza Operations Coordination Centre) bagi memantau perkembangan semasa dan memastikan keberkesanan setiap langkah misi," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, misi pasca-gencatan senjata itu akan dilaksanakan secara berperingkat melalui tiga fasa iaitu bantuan kecemasan, pemulihan, dan pembinaan semula. Bantuan digerakkan dalam Fasa 1 – Bantuan Kecemasan (0–3 bulan): Penghantaran makanan, ubat-ubatan, peralatan klinikal dan bantuan asas kepada hospital serta pusat perlindungan; Fasa 2 – Pemulihan (3–6 bulan): Penempatan semula keluarga, pemulihan sistem kesihatan awam dan pendidikan; dan Fasa 3 – Pembinaan Semula (6 bulan ke atas): Projek membina semula rumah, sekolah, klinik dan infrastruktur air yang musnah akibat perang.
Azmi menegaskan bahawa keutamaan segera MAPIM adalah membantu sektor kesihatan dan bekalan makanan, memandangkan Gaza kini berdepan krisis kesihatan kritikal serta kekurangan ubat-ubatan asas.
"MAPIM sedang menyelaras penghantaran bekalan klinikal, alat pembedahan, serta peralatan rawatan trauma melalui rakan antarabangsa di Mesir, Turkiye dan Jordan," jelasnya.
Bagi memastikan keberkesanan setiap misi, MAPIM turut menubuhkan Pusat Koordinasi Operasi Gaza untuk memantau perkembangan semasa dan menyelaras operasi di lapangan.
Dalam masa sama, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia, institusi agama, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus memperkukuh solidariti kemanusiaan terhadap rakyat Palestin.
"MAPIM turut menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, institusi agama, agensi kerajaan dan rakan NGO untuk terus memperkukuh solidariti kemanusiaan dengan menyumbang kepada tabung “MAPIM Rebuild Gaza” yang akan dilancarkan seiring dengan misi pertama nanti," ujar Mohd Azmi.
Misi ini dijangka menjadi salah satu usaha terbesar Malaysia pasca-gencatan senjata dalam membantu membangunkan semula Gaza yang teruk terjejas akibat konflik berpanjangan.









Comments