MAPIM gesa selebriti dunia dukung flotila Gaza, pecahkan sekatan Israel
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa selebriti dunia, atlet, seniman, pempengaruh media sosial dan tokoh awam berpengaruh agar bangkit menyokong misi Freedom Flotilla Coalition yang bakal belayar ke Gaza bagi membawa bantuan kemanusiaan.
Presidennya Mohd Azmi Abdul Hamid berkata misi tersebut bukan sekadar konvoi bantuan malah satu pernyataan moral dan sejarah terhadap sekatan Israel yang telah menjerut Gaza selama 18 tahun.
"Kegagalan kuasa dunia untuk bertindak tegas membuka ruang kepada masyarakat antarabangsa untuk mengambil peranan, termasuk golongan selebriti yang mempunyai pengaruh besar terhadap jutaan pengikut di seluruh dunia.
"Sekatan ini adalah genosid perlahan. Rakyat Gaza bukan sahaja berdepan pengeboman malah kebuluran yang disengajakan serta pemusnahan sistematik terhadap rumah, sekolah dan hospital mereka.
"Jika kerajaan di negara-negara di dunia berdiam diri, maka nurani manusia sejagat mesti bangkit. Inilah masanya, atau tidak pernah sama sekali," katanya dalam satu kenyataan.
MAPIM menekankan bahawa suara selebriti mampu memperkuatkan desakan antarabangsa menentang kezaliman Israel.
Mohd Azmi menegaskan mereka yang selama ini tampil memperjuangkan hak haiwan, isu iklim dan keadilan sosial tidak boleh memilih untuk berdiam diri ketika rakyat Gaza ditundukkan dengan kebuluran.
"Jika dunia membiarkan Gaza dihancurkan dengan sekatan yang tidak berperikemanusiaan, sejarah akan mempertikaikan hati nurani kita.
"Flotila ini adalah simbol penolakan global terhadap normalisasi genosid dan ia menyeru seluruh manusia berjiwa nurani untuk berdiri bersama rakyat Gaza," tambah beliau.
Misi flotila antarabangsa yang disertai MAPIM dijangka menghimpunkan pelbagai pertubuhan dan aktivis dari seluruh dunia.
Ia bakal menjadi salah satu usaha terbesar untuk menembusi sekatan maritim Israel sejak tragedi flotila Mavi Marmara pada 2010 yang ketika itu menggemparkan dunia selepas serangan tentera Israel meragut nyawa aktivis dan sukarelawan.