top of page

MAPIM desak tindakan global tangani krisis iklim serantau

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 41 minutes ago
  • 2 min read

ree

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan bencana alam terkait perubahan iklim yang melanda Malaysia, Thailand, Indonesia dan Sri Lanka dalam beberapa bulan kebelakangan ini.


Menurut MAPIM, kejadian banjir besar, kemarau berpanjangan, pembalakan tidak terkawal, kenaikan paras laut serta perpindahan komuniti rentan menunjukkan kesan perubahan iklim yang semakin kritikal di rantau ini.


Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, situasi yang berlaku kini berada pada tahap luar biasa dan belum pernah disaksikan sepanjang sejarah.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid

"Banjir dan tanah runtuh yang berlaku minggu ini merupakan episod cuaca ekstrem terkini yang memusnahkan negara-negara Asia Tenggara dalam beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk dua taufan yang melanda Filipina dalam tempoh seminggu pada bulan lalu, mengorbankan sekurang-kurangnya 242 orang.


"Sehingga kini dilaporkan lebih 1,000 maut, ratusan masih hilang, ratusan ribu hilang kediaman dan jutaan terpaksa dipindahkan," kata beliau dalam satu kenyataan.


MAPIM juga menekankan bahawa ribut tropika luar biasa yang membawa hujan lebat, terutamanya di Sumatera minggu lalu telah memperburuk situasi banjir di Indonesia, Thailand dan Malaysia.


Azmi menjelaskan bahawa perubahan iklim telah menambah intensiti kejadian cuaca ekstrem.


Katanya, Malaysia terus berdepan banjir monsun berturut-turut, menyebabkan ribuan hilang tempat tinggal dan kerugian besar. Thailand berisiko tinggi berdepan kenaikan paras laut, terutamanya di Bangkok. Indonesia bergelut dengan banjir besar, kebakaran hutan dan ancaman penenggelaman pesisir yang menjejaskan ibu kota. Manakala Sri Lanka berdepan banjir kilat dan kekurangan air, diperburuk oleh degradasi alam sekitar dan cabaran ekonomi.


Sebagai organisasi kemanusiaan berteraskan nilai agama, MAPIM menjelaskan bahawa isu iklim turut membawa ke arah dimensi moral.


"Keadilan iklim adalah satu tuntutan moral. Penderitaan tidak seimbang yang ditanggung oleh komuniti miskin dan terpinggir tidak boleh diabaikan," tegas Azmi.


Sehubungan itu, MAPIM mengemukakan empat gesaan bagi mengatasi keadaan iaitu kerajaan mengutamakan adaptasi dan daya tahan iklim dalam pembangunan negara; ASEAN mewujudkan rangka kerja tindak balas kecemasan iklim serantau; negara maju menunaikan komitmen pembiayaan iklim untuk negara rentan; dan organisasi keagamaan dan masyarakat sivil meningkatkan kesedaran dan amalan lestari.


MAPIM, kata Azmin, sedang bekerjasama dengan rakan strategik untuk menyalurkan bantuan kecemasan serta sokongan berdaya tahan iklim ke kawasan terjejas.


Beliau dalam pada itu menyeru masyarakat untuk terus memainkan peranan.


"Bertindaklah sekarang — bukan sahaja menangani bencana hari ini, tetapi mencegah masa depan iklim yang semakin buruk bagi anak-anak dan generasi akan datang," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page