Wanita KEADILAN Negeri Selangor (WKNS) telah membuktikan kemantapan dan kecekalannya sepanjang 2019 yang penuh cabaran dan 'kehilangan menyakitkan' beberapa pimpinan utama.
Cabaran itu mematangkan Wanita KEADILAN Selangor untuk menjadi lebih mantap sepanjang 2021.
Menurut ketuanya, Rodziah Ismail, WKNS selepas ini bertekad untuk berjuang lebih gigih dan bertanggungjawab dalam mendokong garis-garis besar haluan perjuangan KEADILAN. Termasuklah, katanya, penolakan mutlak rasuah dan tekad politik dalam membugar nilai-nilai yang selari dengan agenda memelihara kebajikan rakyat.
"Dengan kesedaran itu, Majlis Pimpinan Wanita Negeri Selangor bertekad untuk bekerja dalam satu pasukan, menjadi contoh suri tauladan dan mandiri serta setia mendokong agenda parti.
"Kami komited untuk menggalas nilai disiplin dan berintegriti serta istiqamah untuk memimpin budaya memberdaya wanita," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Wanita KEADILAN Selangor, menurut Rodziah akan siap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang dispekulasikan akan berlangsung pada 2021.
"Wanita KEADILAN bertekad memperkukuhkan pentadbiran negeri Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Harapan, mendepani PRU 15 serta kembali menerajui pentadbiran di Putrajaya.
"Kami turut komited mendokong aspirasi dan menginspirasi yang lain. Bagi membela nasib rakyat melalui pembinaan kapasiti, agar menjadi Wanita yang kompeten serta mampu menggarap dan menjunjung prinsip-prinsip serta nilai-nilai murni dalam diri dan masyarakat, demi mencapai agenda Reformasi," katanya lagi.
Comentários