Oleh: Abdullah Zaid
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abd Halim menyeru sayap pemuda itu agar dimantapkan lagi dengan pengenalan inisiatif kepimpinan bagi melahirkan lebih ramai pemimpin berkualiti.
Hal itu katanya, bagi memastikan idea Reformasi terus subur dalam parti. Sehubungan itu, katanya, AMK mengambil inisiatif melancarkan Akademi Keadilan Rakyat (AKAR) bagi mempergiatkan tekad tersebut.
"Setiap inisiatif ini akan dirangkumkan dalam sebuah organ baharu yang bakal dilancar hari ini, yang dikenali sebagai Akademi Keadilan Rakyat atau akronimnya, AKAR.
"Selain itu, program-program perkaderan dan latihan kepemimpinan akan dianjurkan oleh AMK. Antara Kelab Debat Keadilan, Training Of Trainer dan Sekolah Angkatan Muda antara lainnya, yang melibatkan kepimpinan AMK di seluruh peringkat negeri
"Oleh itu, saya berharap program-program ini akan mempersiapkan pelapis kepemimpinan AMK dengan idealisme yang jelas serta bersesuaian dengan parti," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Selain itu, bagi memastikan golongan rentan terus dibela, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu meminta jentera pemuda KEADILAN untuk sentiasa terkehadapan dalam memperjuangkan nasib golongan yang tidak berkemampuan tersebut.
"Saya memuji usaha Exco AMK yang sering ke hadapan dalam mengadakan perbincangan, lalu mengutarakan permasalahan yang dihadapi oleh pekerja gig terutamanya para ‘riders’.
"Begitu juga usaha yang digerakkan menerusi inisiatif kesukarelawanan dalam membela nasib golongan terpinggir, miskin kota yang tidak berumah.
"Program-program sebegini mendekatkan kita kepada insan-insan yang selama ini dimangsakan oleh sistem ekonomi yang tempang, sekali gus menjadi peringatan kepada kita tentang prinsip keadilan itu sendiri," ujarnya lagi.
Comentarios