Mantapkan agenda reformasi, berkebajikan, muhibah membina parti
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Agenda reformasi, berkebajikan dan muhibah amat diperlukan dalam membina parti.
Bagi calon nombor 11 posisi Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub beliau bertekad mahu membina parti yang lebih mantap menjelang Pilihan Raya Umum ke 16
Selain itu, katanya, rakyat juga perlu diasuh mendukung falsafah dan agenda Malaysia MADANI untuk membina Malaysia berdaulat, berintegriti serta mampan.
''Saya berazam untuk menyemarakkan perjuangan dan agenda reformasi berdasarkan Deklarasi Permatang Pauh 1998.
''Selain itu, visi saya adalah untuk memperkasa KEADILAN melalui perkaderan, latihan, menyantuni kebajikan, budaya muhibah dan politik nilai.
''Seterusnya adalah mencipta kekayaan dan pekerjaan anggota mahupun rakyat melalui Gerakan Membangun Usahawan MADANI (GEMA),'' katanya dalam satu kenyataan.
Bukan itu sahaja, Mustaffa yang juga Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) bertekad untuk membangunkan pemimpin semasa dan membangunkan negara yang berintegriti, berhikmah serta berdaya tahan.
Beliau berkata KEADILAN kini sudah menjadi parti utama dalam Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Maka agenda reformasi perlu bergema di Putrajaya, Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan di pentas dunia.
''Namun cabarannya tetap ada. Agenda Malaysia MADANI diperlekehkan, nada sinikal dan dipermainkan.
''Hal ini sesungguhnya meminta pencerahan yang secukupnya daripada para reformis dan anggota parti.
''Kita sewajarnya menjadi Duta Malaysia MADANI bergerak keseluruh pelosok tanahair.
''Ini juga antara kunci utama untuk kita memenangi PRU16 bersama pelbagai persiapan lain,'' katanya lagi.
Untuk rekod, Mustaffa merupakan antara pengasas KEADILAN. Beliau menjawat Setiausaha Politik kepada Muhyiddin Yassin, Menteri Belia dan Sukan sewaktu reformasi diisytiharkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berbekalkan pengalaman sebagai pimpinan mahasiswa, Presiden PKPIM, ABIM, MBM, Pengerusi Belia ASEAN, serta Ketua Jabatan Latihan Kepinpinan UIA, beliau mengharungi lautan ganas perjuangan bersama bahtera reformasi dan KEADILAN selama lebih dua dekad.
Mustaffa pernah diamanahkan selaku Timbalan Ketua Pemuda KEADILAN Pusat, Pemangku Ketua Pemuda KEADILAN Pusat, Setiausaha Agung dan Naib Presiden.
Dalam Pemilihan KEADILAN 2010, beliau tewas bertanding posisi Timbalan Presiden melawan Azmin Ali. Namun Mustaffa kekal menyumbang untuk parti sehingga kini.
Kommentare