
Tindakan kerajaan BN menghentikan had harga siling bagi ayam bulat, telur ayam dan memansuhkan subsidi ke atas minyak masak botol telah menimbulkan pelbagai teori dalam kalangan rakyat.
Terdapat hujah menyatakan hal itu dilakukan kerana kerajaan mengalami kekurangan hasil untuk memperuntukkan subsidi dan tidak kurnag teori menyatakan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sengaja menimbulkan kemarahan rakyat bagi menghindari Pilihan Raya Umum ke 15 dilaksanakan pada tahun ini.
Bagi Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Jimmy Puah Wee Tse, tidak boleh ditolak polisi untuk tidak meneruskan penetapan harga siling itu dilakukan bagi mencetuskan suasana tidak kondusif dan menolak PRU ke tahun hadapan.
"Saya yakin pimpinan dalam kerajaan yang ada hari ini sedar sekiranya subsidi dan harga siling dihapus akan menyebabkan harga barang melambung sekaligus mengundang kemarahan rakyat di bawah terhadap kerajaan. Tapi mengapa ianya tetap diteruskan? Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.
"Umum mengetahui Ismail Sabri ditekan kiri, kanan, atas dan bawah oleh pimpinan Umno pro kluster mahkamah supaya membubarkan Parlimen secepat mungkin.
"Jadi menurut telahan saya dari sudut pandang orang politik, mungkin inilah formula yang direka oleh Ismail Sabri untuk mempertahankan kerusi empuknya di Putrajaya. Iaitu dengan mewujudkan suasana tidak kondusif serta tidak memihak kepada Umno-BN bagi menghadapi pilihan raya umum ke 15 pada masa terdekat.
"Dalam erti kata lain, secara tak langsung kerajaan mengheret rakyat yang tidak bersalah ke dalam kancah percaturan politik dalaman Umno," katanya.
Menurut Jimmy lagi, sekiranya Kerajaan BN mahukan jalan terbaik menyelesaikan masalah rakyat terdapat banyak cara yang boleh dilakukan.
Katanya, Kerajaan boleh menggunakan keuntungan Petronas untuk mensubsidikan harga ayam, telur dan minyak masak sehingga harganya kembali stabil.
"Ada saja cara untuk mengatasi isu subsidi ini. Bak kata pepatah ‘Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih’. Dengan keuntungan Petronas pada suku pertama 2022 berjumlah RM23.44 bilion, iaitu meningkat sebanyak 154% berbanding suku pertama 2021, kerajaan boleh menggunakan sebahagian dari keuntungan ini untuk program subsidi barangan keperluan asas bagi tujuan membantu meringankan beban rakyat.
"Namun apa yang kita lihat hari ini adalah sebaliknya, kerajaan lebih rela bertelagah antara satu sama lain dan lebih rela menghanguskan berbilion ringgit demi menyelamatkan syarikat kroni yang merugikan wang rakyat, berbanding menyelamatkan nasib rakyat marhean yang susah di bawah," katanya.
Justeru, Jimmy menggesa Kerajaan BN agar jangan sesekali mengorbankan rakyat demi percaturan politik dalaman Umno.
"Kami rakyat Malaysia tak rela menjadi mangsa dan mendesak agar kerajaan mengatasi segera masalah kenaikan harga barang serta membatalkan hasrat untuk menghapuskan subsidi makanan asas," katanya lagi.