top of page

Mansuh peruntukan parlimen: Cadangan Fadhli hanya populis, tidak realistik

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Cadangan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari supaya peruntukan RM3.5 juta kepada setiap Ahli Parlimen dimansuhkan atas alasan penjimatan fiskal disifatkan hanya bersifat populis dan tidak mencerminkan realiti sebenar pengurusan ekonomi negara.


Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kerajaan Perpaduan MADANI, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata, cadangan ahli parlimen pembangkang itu tidak mengambil kira cabaran semasa yang dihadapi negara, termasuk ketidaktentuan geopolitik global, tekanan inflasi serta gangguan rantaian bekalan tenaga dan makanan.


"Langkah dicadangkan itu tidak menghasilkan penjimatan sebenar kerana komitmen terhadap kebajikan rakyat tetap perlu dilaksanakan melalui pelbagai saluran perbelanjaan kerajaan.


"Cadangan ini hanya mencipta gambaran mudah mengenai kedudukan fiskal negara tanpa menyentuh struktur sebenar perbelanjaan awam," katanya dalam satu kenyataan.


Tambah beliau, ketika Kerajaan MADANI sedang melaksanakan reformasi fiskal yang memerlukan disiplin kewangan dan ketegasan dasar, pembangkang sebaliknya mengangkat cadangan yang tidak menyentuh cabaran sebenar ekonomi.


Beliau turut menegaskan bahawa pembangkang dilihat terus memainkan naratif politik jangka pendek, sedangkan kerajaan sedang melaksanakan langkah berstruktur seperti subsidi bersasar, pengurangan ketirisan, kepelbagaian sumber tenaga serta pengukuhan keselamatan bekalan makanan negara.


"Langkah-langkah ini memerlukan kejelasan dasar dan ketekunan pelaksanaan. Rakyat pada masa ini memerlukan kestabilan, arah tuju yang jelas serta kepimpinan yang memahami cabaran ekonomi global," ujarnya.


Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Kelab Penyokong Kerajaan MADANI kekal menyokong usaha kerajaan dalam melaksanakan dasar fiskal berimpak tinggi bagi memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page