Mansuh Ordinan Darurat tidak dipersembahkan, hina institusi Raja Melayu - Anwar
- Redzuan Shamsudin
- Jul 26, 2021
- 2 min read

Sesi sidang Parlimen hari ini dikejutkan dengan kenyataan Menteri Undang-undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengakui Ordinan Darurat telah dimansuhkan pada 21 Julai lalu.
Bagaimanapun Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya selepas sesi penerangan oleh Perdana Menteri (PM) Mahiaddin Yassin mempertikaikan pemansuhan itu yang dibuat tanpa dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong dan tidak diumumkan kepada rakyat.
"Saya percaya PM setuju perisytiharan atau pembatalannya (Ordinan Darurat) adalah sesuatu yang serius dan tidak boleh dibuat secara sewenang-wenangnya atau spontan.
"Saya tahu keperluan menteri untuk menjawab mengelakan perbahasan berterusan. Tetapi untuk memberikan jawapan begitu rupa saya fikir unpresidented. Polisi utama harus dibentangkan secara terhormat kepada kepada Ahli Parlimen, sama ada kita semua memperakui (bersetuju) bersama. Dan ini tidak berlaku...
"Saya juga gusar, saya bayangkan di awal tadi kita ini ditahap krisis Perlembagaan. Kita tahu kenyataan Majlis Raja-raka dan Yang di-Pertuan Agong. Saya tidak pasti sama ada hal yang diumumkan oleh menteri (mansuh Ordinan Darurat) telah dipersembahkan atau diperkenankan kerana tidak disebut dalam membawa usul Darurat (di dewan).
"Saya diberitahu PM, Peguam Negara dan beberapa orang datang mempersembahkan kepada Tuanku, meyakinkan Tuanku (ketika memohon Darurat), apakah pembatalan ini dibuat dengan mempersembahkan dan mendapat perkenan?
"Saya mahu penjelasan, kerana jika ini belum berlaku (mendapat perkenan), pengumuman tidak boleh dibuat dan dengan (ini) satu bentuk penghinaan kepada institusi Raja Melayu, khususnya Agong," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, negara akan terjerumus ke dalam krisis Perlembagaan berpanjangan jika sesuatu perisytiharan boleh dikuatkuasakan dan dimansuhkan begitu sahaja tanpa melalui prosedur yang sepatutnya, terutama diundi di Parlimen.
"Saya fikir melihat kepada sidang hari ini, dengan pengumuman yang dibuat, akan mempertajamkan krisis Perlembagaan. PM, menteri berkenaan harus bertanggungjawab mengemukakan usul melibatkan kuasa dalam Perkara 150 (3) Darurat.
"Kedua, terkait keperluan memaklumkan. Memaklumkan dengan pengumuman seperti itu tak boleh dibuat. Umpamanya hari ini kita umum isytihar Darurat. Datang satu sesi lagi, kita kata dah batalkan minggu lalu. Ini pasar malam ke?
"Saya nak lihat kertas pembentangan, kelulusan dan kalau ini tidak dilakukan dan dianggap suara Ketua Pembangkang, silap besar.
"Saya nak pertahan semangat Perlembagaan, Raja Berpelembagaan dan jangan krisis berpanjangan kerana parahnya rakyat Malaysia (menanggung).
"Dan kerajaan dalam konteks hari ini tidak mungkin dapat mentadbir dengan baik dan tersusun kalau konsep (kepatuhan undang-undang) ini tidak dipatuhi dan dihormati," katanya lagi.
Anwar juga menegaskan, sekiranya persoalan pokok mengenai pemansuhan Ordinan Darurat pun tidak dihormati fungsi dewan untuk membahaskannya, maka perkara lain yang ditimbulkan dalam sidang Parlimen juga mungkin mengalami nasib serupa.