Mansuh AUKU: Universiti mampu bersaing di peringkat global
- Hasbul Ahmad

- 7 minutes ago
- 2 min read

Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sebagaimana yang diumumkan Kerajaan MADANI akan membuka peluang kepada universiti di Malaysia untuk membina identiti akademik yang lebih bebas dan kompetitif di peringkat antarabangsa.
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kelantan, Suhail Wan Azahar berkata, dengan perkembangan terbaharu itu universiti di negara ini akan lebih bebas dalam membincangkan idea dan terbuka untuk membincangkan semua perkara sebagaimana universiti di negara maju.
"Universiti tidak boleh hanya mengejar kedudukan ranking, sebaliknya perlu membina budaya ilmu yang membolehkan pensyarah dan mahasiswa menghasilkan penyelidikan yang benar-benar memberi impak.
"Universiti kita perlu menjadi tempat lahirnya idea-idea besar. Kita mahu mahasiswa bertanya soalan yang sukar, pensyarah menjalankan kajian yang berani dan universiti menghasilkan penyelesaian kepada masalah negara.
"Kalau budaya takut untuk bersuara masih ada, kita akan kehilangan potensi besar yang ada dalam universiti," katanya kepada Suara Keadilan.
Beliau berkata reformasi juga perlu memastikan mahasiswa mempunyai peranan dalam proses membuat keputusan yang menyentuh kehidupan mereka, termasuk pembangunan kurikulum, kebajikan mahasiswa, aktiviti kampus dan hala tuju institusi.
Konsep ini selari dengan perbincangan di Parlimen mengenai “student self-formation”, iaitu mahasiswa bukan sekadar diberi kebebasan berpersatuan tetapi turut mempunyai ruang menggunakan kebijaksanaan dan kebebasan mereka untuk menyumbang kepada pembangunan universiti, termasuk aspek kurikulum, ekspresi dan kehidupan kampus.
Kebebasan datang bersama akauntabiliti
Bagaimanapun, Suhail menegaskan pemansuhan AUKU tidak boleh ditafsirkan sebagai lesen untuk mahasiswa atau warga akademik melakukan apa sahaja tanpa batas.
Sebaliknya, kebebasan perlu disertai akauntabiliti, integriti akademik dan pematuhan kepada undang-undang umum negara.
"Bila kita minta kebebasan, kita juga mesti bersedia menerima pertanggungjawaban. Mahasiswa mesti bertanggungjawab terhadap kenyataan dan tindakan mereka. Akademik pula mesti mempertahankan integriti ilmu.
"Ini bukan kebebasan tanpa batas. Ini kebebasan yang mendewasakan," katanya lagi.




Comments