top of page

Mansuh AUKU: Tiada lagi mahasiswa jadi mangsa kerana bersuara

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
Aug 17
3 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik dan menyokong penuh hasrat kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin.


Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof (gambar) berkata pemansuhan AUKU perlu menjadi titik perubahan daripada budaya mengawal mahasiswa kepada pendekatan yang mempercayai dan memperkasa golongan berkenaan.


"Semoga tiada lagi mahasiswa yang menjadi mangsa kerana bersuara. Universiti seharusnya menjadi tempat mahasiswa belajar mengemukakan pandangan, mengkritik dasar, berbeza pendapat dan mempertahankan hujah berdasarkan ilmu dan fakta," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Azli, langkah itu merupakan tonggak penting dalam agenda reformasi total membebaskan institusi dan pendidikan tinggi negara daripada cengkeram akta zalim yang dibuat pada era kerajaan sebelum ini.


Beliau berkata, sepanjang lebih lima dekad, AUKU menjadi sebahagian daripada kerangka perundangan yang mengawal ruang mahasiswa dalam aspek berpersatuan, bersuara, berpolitik dan berinteraksi dengan masyarakat.


"Pemansuhannya harus menjadi titik perubahan daripada budaya mengawal mahasiswa kepada budaya mempercayai dan memperkasa mahasiswa," katanya.


Azli yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata sekatan di bawah AUKU pada suatu ketika bukan sahaja memberi kesan kepada aktiviti mahasiswa di dalam kampus, malah turut mengehadkan penglibatan mereka dengan parti politik, pertubuhan dan aktiviti di luar universiti.


Katanya, terdapat juga mahasiswa yang dikenakan tindakan tatatertib sehingga menjejaskan hak mereka untuk menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi.


Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya tidak melupakan sejarah gerakan mahasiswa di negara ini, termasuk penglibatan mereka dalam isu kemiskinan, harga barang, nasib petani dan ketidakadilan sosial pada era 1970-an yang pernah dipimpin sendiri PM sekarang Anwar Ibrahim pada waktu mudanya.


"Pada era 1970-an, mahasiswa tampil membangkitkan isu kemiskinan, harga barang, nasib petani dan ketidakadilan sosial. Kemuncaknya ialah Peristiwa Baling 1974, yang menyaksikan penglibatan mahasiswa dalam gerakan membela nasib rakyat," katanya.


Azli turut mengimbas kes empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dikenakan tindakan berhubung penglibatan mereka dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada 2010.


Menurutnya, kes itu akhirnya dibawa ke mahkamah dan menjadi antara kes penting dalam perkembangan hak mahasiswa di bawah AUKU.


"Mahkamah Persekutuan pada 2012 menolak rayuan Kerajaan berhubung keputusan yang mencabar sekatan terhadap mahasiswa menyatakan sokongan atau bangkangan terhadap parti politik," katanya.


Beliau berkata pengalaman sejarah berkenaan menimbulkan persoalan mengenai ruang yang sepatutnya diberikan kepada mahasiswa untuk mengambil pendirian terhadap isu masyarakat.


"Bolehkah mereka mengambil pendirian terhadap isu yang berlaku di sekeliling mereka? Wajarkah universiti menjadi menara gading yang terpisah daripada denyut nadi rakyat?" soalnya.


Azli menegaskan mahasiswa yang prihatin terhadap masalah rakyat seharusnya dilihat sebagai aset dan bukannya ancaman kepada negara.


"Mahasiswa mesti diberikan ruang untuk belajar demokrasi melalui pengalaman sebenar," katanya.


Beliau berkata pindaan AUKU pada 2012 yang melonggarkan beberapa sekatan terhadap penglibatan politik mahasiswa merupakan langkah penting, namun reformasi lebih menyeluruh diperlukan.


"Jika selepas lebih sedekad masih terdapat keperluan untuk melakukan reformasi yang lebih menyeluruh, ini menunjukkan bahawa perubahan tidak boleh berhenti pada pindaan kecil."


Menurut Azli, pemansuhan AUKU sepenuhnya perlu menjadi permulaan kepada pembinaan kerangka baharu yang lebih demokratik, matang dan berasaskan autonomi universiti.


"Universiti mesti kembali menjadi medan intelektual yang baik, bukan universiti yang hanya melahirkan graduan yang memperoleh keputusan cemerlang.


"Universiti yang baik melahirkan generasi yang mampu berfikir secara kritis, menguji sesuatu idea, berbeza pendapat secara matang, mempertahankan hujah berdasarkan fakta, memahami masalah masyarakat dan menawarkan penyelesaian kepada negara," tegasnya.


Sehubungan itu, AMANAH menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi memastikan kerangka baharu yang menyeluruh dengan memberi penekanan kepada jaminan kebebasan bersuara, hak berpersatuan, proses tatatertib yang telus serta mekanisme rayuan yang berkesan.


Selain itu, katanya, mahasiswa perlu diberikan ruang lebih luas untuk terlibat dalam proses membuat keputusan berkaitan kehidupan kampus.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page