top of page

Mansuh AUKU: Reformasi total pendidikan, tutup ruang salahguna, budaya lama

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 2 minutes ago
  • 2 min read

Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu diterjemahkan sebagai reformasi total sistem pendidikan tinggi, termasuk menutup ruang salah guna kuasa dan menghapuskan budaya lama dalam pentadbiran universiti, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kelantan, Suhail Wan Azahar.


Menurut beliau, akta baharu yang sedang dirangka tidak seharusnya sekadar menggantikan AUKU dengan nama dan struktur baharu, sebaliknya perlu dibina berdasarkan kajian mendalam serta pandangan pelbagai pihak agar kelemahan yang wujud sebelum ini tidak berulang.


"Dalam proses nak mansuh itu, akta baru memang perlu ada semangat untuk menutup ruang berlaku salah guna kuasa dan pengamalan budaya-budaya lama dalam universiti.

Suhail Wan Azahar
Suhail Wan Azahar

"Jadi, perlu ada pandangan banyak pihak dan perlu lebih mendalam kajian supaya tidak berlaku benda sama macam dulu," kata Suhail kepada Suara Keadilan.


Suhail berkata, proses itu kini perlu melihat bukan sahaja kandungan undang-undang di peringkat pusat, tetapi turut meneliti perlembagaan setiap universiti kerana setiap institusi mempunyai peruntukan dan struktur tadbir urus tersendiri.


"Sekarang ini kita tengah proses nak baca satu-satu perlembagaan universiti. Sebab perlembagaan setiap universiti ini lain-lain.


"Jadi kita tengah tengok satu-satu universiti kerana perlembagaan itu dapat kuasa daripada AUKU yang dulu," katanya.


Menurut beliau, semangat reformasi yang mahu dibawa melalui pemansuhan AUKU mesti diterjemahkan dalam bentuk undang-undang dan struktur baharu yang mampu menjamin kebebasan mahasiswa serta warga akademik, di samping mewujudkan mekanisme pertanggungjawaban dan semak imbang.


Antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian ialah kuasa dan peraturan sedia ada dalam setiap universiti kerana struktur tersebut selama ini mempunyai kaitan dengan kerangka kuasa yang diperuntukkan melalui AUKU.


Justeru, katanya, reformasi tidak boleh hanya dilakukan pada peringkat akta persekutuan, sebaliknya perlu turut meneliti perlembagaan, statut dan peraturan universiti satu demi satu bagi memastikan semangat kebebasan dan demokratisasi pendidikan tinggi benar-benar diterjemahkan dalam pentadbiran institusi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page