Mansuh AUKU: Perjuangan panjang mahasiswa menemui noktah
- Redzuan Shamsudin

- 17 minutes ago
- 3 min read

Mahasiswa KEADILAN Malaysia (MKM) menyambut dengan penuh rasa syukur dan bangga keputusan Kerajaan MADANI untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), yang disifatkan sebagai kemenangan penting dalam perjuangan mahasiswa negara selama lebih lima dekad.
Timbalan Pengerusi MKM, Johan Iskandar berkata pemansuhan AUKU bukan sekadar penghapusan sebuah undang-undang, sebaliknya menjadi titik penting kepada perjuangan generasi mahasiswa yang sejak sekian lama menuntut kebebasan, autonomi dan ruang demokrasi di kampus.
"Ini bukan sekadar pemansuhan sebuah akta.
"Ini adalah kemenangan sebuah perjuangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sepanjang lebih lima dekad AUKU menjadi sebahagian daripada perjalanan gerakan mahasiswa, generasi demi generasi mahasiswa membawa tuntutan agar kampus menjadi ruang ilmu yang merdeka serta mahasiswa diberikan kepercayaan untuk berfikir, bersuara dan menentukan masa depan sendiri.
Johan berkata perjuangan tersebut bukan perkara yang baharu, malah antara tokoh yang pernah berada di barisan hadapan perjuangan mahasiswa ialah Timbalan Menteri, Adam Adli Abd Halim.
"Lebih sedekad lalu, ketika suara mahasiswa berdepan tekanan dan kekangan, antara anak muda yang berdiri di barisan hadapan ialah YB Adam Adli Abd Halim.
"Beliau pernah turun ke jalan sebagai mahasiswa. Beliau pernah berdepan tindakan tatatertib dan digantung pengajian. Namun tuntutan yang dibawanya ketika itu jelas. Mahasiswa tidak seharusnya sekadar diberikan sedikit ruang melalui pindaan undang-undang, tetapi perlu diberikan autonomi dan kebebasan yang sewajarnya," katanya.
Beliau berkata perjalanan Adam Adli daripada seorang aktivis mahasiswa kepada anggota pentadbiran kerajaan hari ini menjadi simbol bahawa perjuangan berprinsip, walaupun mengambil masa, mampu menghasilkan perubahan.
MKM juga katanya, merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keberanian politik dan komitmen Kerajaan MADANI meneruskan agenda reformasi institusi negara.
Penghargaan khusus turut diberikan kepada Adam Adli yang menurut MKM mempunyai hubungan langsung dengan sejarah perjuangan mahasiswa tersebut.
"Bagi kami, pemansuhan AUKU mempunyai makna yang cukup istimewa kerana beliau sendiri datang daripada sejarah perjuangan mahasiswa tersebut. Beliau memahami harga sebuah suara kerana beliau pernah membayar harganya. Beliau memahami keresahan mahasiswa kerana beliau pernah berada di tempat yang sama," katanya.
Johan menyifatkan perubahan peranan Adam Adli sebagai gambaran perjalanan perjuangan daripada berada di luar sistem kepada usaha membawa perubahan dari dalam sistem.
Permulaan ekosistem pendidikan lebih matang
Bagaimanapun, MKM menegaskan pemansuhan AUKU tidak seharusnya dianggap sebagai penamat kepada perjuangan mahasiswa, sebaliknya permulaan kepada pembentukan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih matang.
Menurut Johan, universiti perlu menjadi ruang yang meraikan perbezaan pandangan, mengangkat kebebasan akademik, memperkukuh autonomi mahasiswa dan melahirkan generasi yang berani berfikir serta bertanggungjawab terhadap negara.
Beliau turut memberikan penghormatan kepada generasi mahasiswa terdahulu yang pernah berdepan tindakan, tekanan dan hukuman kerana memperjuangkan kebebasan mahasiswa.
"Kepada generasi mahasiswa terdahulu yang pernah bersuara, berhimpun, dihukum, digantung, ditekan atau dipandang sinis kerana mempertahankan kebebasan mahasiswa, sejarah tidak melupakan kalian," katanya.
Pada masa sama, mahasiswa hari ini diseru mengisi kebebasan yang diperoleh dengan ilmu, keberanian dan tanggungjawab.
"Kepada mahasiswa hari ini, kebebasan yang diperoleh harus diisi dengan ilmu, keberanian dan tanggungjawab.
"Kerana reformasi sebenar bukan sekadar memansuhkan sebuah akta.
"Reformasi adalah apabila kita berani memberikan kepercayaan kepada mahasiswa untuk menjadi mahasiswa," katanya lagi.
Perjuangan menentang AUKU merupakan suatu perjalanan panjang sejak 1971. Akta ini telah memangsakan mahasiswa sejak era Anwar Ibrahim mengetuai mahasiswa di Universiti Malaya.
Pemansuhannya merupakan suatu perjalanan panjang yang disempurnakan dengan sebaik baiknya oleh Anwar dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adli yang pernah menjadi mangsa AUKU pada 2013 tetapi bangkit menjadi menteri sedekad kemudiannya.




Comments