Mansuh AUKU: Pakatan Harapan tunai janji, bebaskan mahasiswa - AMK
- Akmal Manaf

- 1 day ago
- 2 min read

Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan janji reformasi bukan sekadar retorik apabila satu demi satu janji perubahan yang dilaungkan Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihanraya lalu mula dilaksanakan, termasuk usaha terbaharu memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, peranan PH dalam Kerajaan MADANI menjadi pemangkin kepada pelaksanaan reformasi total dalam pentadbiran walaupun dilaksanakan secara berperingkat.
Ujar beliau, PH tetap memunaikan janji reformasi, antaranya berkaitan Akta Parlimen dan perkhidmatan awam.
"Selain itu, kita juga melakukan perubahan berkaitan insolvensi yang kita naikkan hadnya supaya lebih ramai orang boleh keluar daripada status bankrap.
"Bila kita bercerita mengenai reformasi, hanya PH yang benar-benar membawa perubahan. Kalau hanya Barisan Nasional (BN) berada dalam Kerajaan Perpaduan, kita boleh jangkakan AUKU ini masih lagi akan kekal dan tiada sebarang perubahan atau pindaan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pemansuhan AUKU yang dilihat sebagai langkah awal ke arah reformasi menyeluruh oleh PH, sekali gus membuktikan parti itu bukan sekadar bercakap mengenai perubahan, tetapi telah merealisasikannya.
Mengulas lanjut, Izuan berkata, sudah tiba masanya AUKU dimansuhkan kerana usaha reformasi yang dilaksanakan sebelum ini, termasuk pindaan yang membolehkan mahasiswa terlibat dalam politik, masih belum memadai selagi kuasa Menteri di bawah akta itu kekal besar sebagaimana telah termaktub sejak 55 tahun lalu.
"AUKU ini bukan hanya semata-mata (tentang) isu mahasiswa, tetapi ia juga berkenaan isu berapa besar kuasa menteri dalam akta tersebut.
"Kita lihat kuasa menteri itu masih lagi ‘power’. Jadi kita rasa ada satu keperluan untuk memansuhkan terus AUKU itu.
"Yang pasti, yang membawa reformasi dan perubahan ialah PH. Walaupun dalam Kerajaan Perpaduan atau apa pun bentuk kerajaan, tetap ada perubahan dan reformasi yang telah dibuat PH.
"Kalau masih kekal lagi seperti sebelum 2018, tiada reformasi, tiada perubahan (maka) semuanya hanya kekal dan tiada apa yang berubah," kata beliau yang juga ADUN Kota Damansara.
Ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional KEADILAN 2026 Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan pemansuhan AUKU.
Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata, meskipun beberapa pindaan dibuat terhadap akta berkenaan sebelum ini, masih terdapat perkara yang tidak memuaskan hati mahasiswa.
"Mahasiswa merasakan mereka sepatutnya diberikan kebebasan. Kita sudah memberikan mereka lebih banyak kebebasan melalui pindaan terhadap AUKU sebelum ini, tetapi masih ada yang tidak berpuas hati dan mereka telah mengemukakan memorandum," katanya dipetik.
Untuk rekod, AUKU sebelum ini telah melalui tujuh siri pindaan sejak diperkenalkan pada 1971, termasuk pindaan pada 2012 yang membenarkan mahasiswa menyertai aktiviti parti politik di luar kampus.
Pindaan terbaharu pada 2024, menyaksikan tindakan tatatertib terhadap pelajar di universiti awam tidak lagi tertakluk pada kuasa Naib Canselor, sebaliknya diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Pelajar menerusi pindaan Seksyen 16B AUKU.




Comments