Mansuh AUKU: Kukuh kedudukan mahasiswa, buka lembaran baharu pendidikan
- Akmal Manaf

- 41 minutes ago
- 1 min read

Keberanian Kerajaan MADANI memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 menggambarkan komitmen dalam melaksanakan reformasi yang telah lama diperjuangkan khususnya bagi memperkasa mahasiswa dan memperkukuh autonomi institusi pendidikan tinggi.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran berkata, pemansuhan itu bukan hanya retorik kosong, sebaliknya membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan, melontarkan idea dan memainkan peranan yang lebih bermakna dalam pembangunan masyarakat dan negara.
"Mahasiswa bukan sekadar mahu didengar, tetapi perlu diberi kepercayaan untuk menyumbang dan menentukan masa depan negara.
"Lebih penting mahasiswa tidak seharusnya hanya sekadar menjadi penerima dasar universiti, tetapi perlu diberikan ruang untuk menjadi sebahagian daripada proses membentuk dasar dan keputusan yang menyentuh kehidupan mereka.
"Pada masa sama, melalui pembaharuan ini, kerajaan akan terus memastikan autonomi universiti diperkukuh, kebebasan mahasiswa dihormati serta ketelusan, integriti dan akauntabiliti menjadi asas dalam tadbir urus universiti," katanya dalam satu kenyataan.

Yuneswaran menyifatkan, usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan reformasi total membebaskan belenggu AUKU perlu dihargai oleh mahasiswa.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata, pemansuhan AUKU setelah 55 tahun juga bukan titik noktah tetapi permulaan kepada era baharu pendidikan tinggi yang lebih terbuka, berautonomi dan bertanggungjawab.
"Saya menyambut baik pengumuman PM Anwar mengenai pemansuhan akta itu sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh kedudukan mahasiswa serta masa depan pendidikan tinggi negara.
"Terima kasih PMX. Kerajaan MADANI memilih untuk melakukan apa yang belum pernah dilakukan sebelum ini iaitu menamatkan AUKU dan membuka lembaran baharu dalam sejarah pendidikan tinggi negara," puji beliau.




Comments