Manipulasi pembangkang mengenai isu ekonomi negara, terutama penyarasan subsidi diesel merupakan antara punca utama kekalahan KEADILAN-Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang turut berceramah di PRK itu, isu diesel katanya, menyebabkan penyokong KEADILAN sendiri bersikap defensif dan tidak baik dalam usaha memenangi pilihanraya.
"Jelas sekali bahawa KEADILAN dan PH kalah di Sungai Bakap kerana isu ekonomi.
"Najib Tun Abdul Razak Perdana Menteri ke-6 kalah dalam PRU14 pada Mei 2018 kerana isu GST dan 1MDB.
"Kali ini di PRK Sungai Bakap, KEADILAN dan PH yang mewakili Kerajaan Persekutuan kalah dengan isu perlaksanaan subsidi bersasar diesel.
"Secara objektif, saya secara peribadi bersetuju dengan Kerajaan Pusat dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa usaha mengukuhkan ekonomi adalah langkah tepat. Perlaksanaan subsidi diesel secara bersasar walaupun tidak popular tetapi adalah dasar yang betul dan bertanggungjawab.
"Tetapi penerimaan rakyat termasuk di Sungai Bakap dalam isu diesel tersebut sangat merugikan calon KEADILAN. Rakyat marah kerana kenaikan harga diesel menyebabkan kenaikan harga barangan lain menjadikan kos sara hidup semakin tinggi," katanya dalam kenyataan.
Selain itu, menurut Hassan, dari segi politik Melayu dan Islam KEADILAN-PH masih tidak mempunyai kekuatan dan tetap kalah dari segi naratif serta optik.
Terutama, katanya, dalam isu syarikat asing pro Israel yang didakwa akan mempunyai kuasa dalam MAHB selepas ini.
"Langkah berani dan lantang Perdana Menteri Anwar Ibrahim di persada dunia antarabangsa membela rakyat Palestin di Gaza, buat satu jarak waktu telah memperkukuhkan kedudukan Anwar di mata rakyat Melayu Islam di Malaysia yang mempunyai hubungan emosi, sentimen dan solidariti dengan umah Islam di Palestin
"Namun ia mulai runtuh dan lebur apabila Perdana Menteri Anwar yang juga Menteri Kewangan serta Pengerusi Khazanah Nasional bersetuju menjual (ditohmah) sebahagian saham MAHB kepada syarikat GIP dari Amerika Syarikat yang dikuasai oleh BlackRock sebuah syarikat pelaburan antarabangsa Amerika Syarikat yang kuat menyokong kerajaan zionis Israel dan melancarkan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza," katanya.
Bagaimanapun, kata Hassan, kekalahan 6 Julai itu adalah satu amaran awal untuk membaiki prestasi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16.
Katanya, PH dan rakan gabungannya perlu merangka strategi yang lebih sesuai berdasarkan PRU akan datang yang banyak dikuasai anak muda.
"Jika Kerajaan Perpaduan sekarang khususnya KEADILAN dan PH tidak membina naratif nasional yang betul, bukan sekadar bercakap sahaja tetapi dengan perbuatan.
"Rakyat perlu melihat di atas meja rumah mereka sudah ada beras putih tempatan yang mampu dibeli dengan harga berpatutan. Juga kos sara hidup seharian semakin ringan dan mudah sehingga rakyat boleh menarik nafas lega. Apabila inflasi menurun, gaji pekerja bertambah naik, maka ketika itu mungkin sebahagian besar rakyat khususnya golongan B40 dan M40 akan mengambil sikap lebih mesra dan memihak kepada KEADILAN - PH, Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani," katanya lagi.
Hassan berharap KEADILAN akan menemui strategi yang betul dalam jangka masa beberapa tahun ini agar PM Anwar boleh meneruskan pemerintahan penggal kedua dan tidak menerima nasib seperti PM Rishi Sunak di United Kingdom yang tewas dalam pilihanraya Jumaat, 5 Julai lalu.
Comments