top of page

Konflik Asia Barat: Dunia tidak boleh membisu soal kezaliman, ketidakadilan - PM Anwar

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • Mar 17
  • 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Forum Ilmuwan Madani bersama Prof Jeffrey D. Sachs di Putrajaya pada 16 Mac 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Forum Ilmuwan Madani bersama Prof Jeffrey D. Sachs di Putrajaya pada 16 Mac 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Malaysia tidak boleh berdiam diri terhadap ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku dalam konflik geopolitik global khususnya perang yang melanda Asia Barat ketika ini, demikian tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri berkata konflik yang tercetus akibat tindakan Israel dengan sokongan Amerika Syarikat bukan lagi sekadar isu angka korban atau kemusnahan infrastruktur sebaliknya menggambarkan kecenderungan berbahaya untuk menguasai wilayah dan pengaruh tanpa mengambil kira aspek kemanusiaan.


“Dalam suasana dunia yang terus berantakan akibat konflik dan perseteruan geopolitik, kita tidak boleh membiarkan ketidakadilan dan kezaliman mengheret kita untuk bungkam.


"Perang yang melanda Asia Barat hari ini yang dicetuskan rejim ganas Israel dan didukung bala tentera Amerika Syarikat, persoalannya tidak lagi berlegar sekitar perihal angka korban dan kemusnahan infrastruktur semata, malah ia mencerminkan kecenderungan yang berbahaya untuk menunduk atau mendominasi ruang wilayah serta pengaruh tanpa menghiraukan aspek kemanusiaan,” katanya dalam hantaran di Facebook.


Terdahulu beliau berucap pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Putrajaya petang semalam yang turut menampilkan ahli ekonomi terkenal dunia, Jeffrey Sachs sebagai pembicara undangan.


Ia dianjurkan dengan kerjasama KPT, Kementerian Luar dan Sunway University.


Menurut Perdana Menteri , golongan paling terkesan dalam konflik tersebut ialah wanita, kanak-kanak serta masyarakat awam yang terpaksa hidup dalam ketakutan dan trauma berpanjangan.


Sehubungan itu, Anwar berkata Malaysia mengambil pendirian yang jelas dan berprinsip dalam mendesak agar keganasan dihentikan segera serta ketegangan diredakan melalui saluran diplomasi yang berpaksikan undang-undang antarabangsa.


“Malaysia mengambil pendirian yang jelas dan berprinsip yakni mendesak dihentikan segera keganasan, meredakan ketegangan serta menghidupkan kembali saluran diplomasi yang berpaksi pada undang-undang antarabangsa dan penghormatan terhadap maruah manusia,” katanya.


Dalam pada itu, Anwar menganggap forum tersebut menjadi platform penting untuk menilai secara adil cabaran geopolitik yang sedang dihadapi dunia.


“Dalam kerangka inilah Forum Ilmuwan Malaysia MADANI menjadi wahana penting untuk menilai secara adil cabaran geopolitik yang merundung dunia.


"Saya juga berbesar hati tatkala menyambut kehadiran Profesor Jeffrey Sachs sebagai pembicara undangan, seorang ilmuwan dan juga sahabat yang telah sekian lama menekuni persoalan pembangunan, kemiskinan dan tatanan dunia,” katanya.


“Mudah-mudahan wacana ilmiah seperti ini akan terus menyemarak ruang pemikiran yang berani, adil dan berprinsip dalam usaha dan upaya kita mempertahankan ‘reason’ dan martabat kemanusiaan sejagat."

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page