Manifesto: Zaidi wujudkan kad laporan, laman sesawang projek rakyat
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N06 Bandau, Zaidi Jatil menegaskan komitmennya untuk mendekatkan wakil rakyat dengan rakyat bukan hanya melalui janji, tetapi menerusi tindakan mewujudkan kaunter aduan awal di kampung-kampung bagi memastikan masalah penduduk sampai terus ke pengetahuannya sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17 (PRN17) nanti.
Beliau berkata, pihaknya juga merancang membangunkan ‘Bandau Dashboard’ atau laman sesawang yang akan memaparkan maklumat melibatkan projek-projek pembangunan di setiap kampung contohnya menaik taraf jalan perhubungan desa di Kampung Kerongkong.
"Kita paparkan apa yang sedang dilaksanakan, bila (tarikh) mula dan siap (projek) supaya rakyat tahu (jenis projek dan peruntukan yang diberi).
"Kita tidak mahu sorokkan (apa-apa) daripada masyarakat dan ini kita akan wujudkan selepas kita InsyaAllah menang pilihan raya nanti," katanya ketika pelancaran manifesto yang diadakan di sebuah hotel di Kota Marudu hari ini.
Seterusnya Zaidi berkata, beliau berhasrat untuk membuat kad laporan wakil rakyat yang merangkumi pencapaian dan gerak kerja untuk dimaklumkan kepada masyarakat setempat.
"Kita juga telah membuat pengisytiharan harta sebelum menjadi wakil rakyat dan selepas menjadi wakil rakyat pun, kita akan isytihar (harta) pada setiap tahun kerana kita mahu rakyat tahu dan yakin bahawa pimpinan politik PH dan juga pimpinan KEADILAN apabila diangkat menjadi pemimpin, bukan pemimpin yang sakau duit rakyat atau pencuri duit rakyat.
"Kita mahu kembalikan kepercayaan rakyat bahawa politik ini bukan pentas untuk mengaut keuntungan peribadi. Ini agenda yang mahu kita bawa di Bandau pada masa akan datang.
"Seterusnya melibatkan infrastruktur dan kemudahan asas yang merupakan antara perkara penting. Agenda utama kita dalam menyelesaikan masalah jalan raya, bekalan air di Manggaris. David kata batang paip dan meter ada, tapi bila buka paip yang keluar ialah angin.. airnya tak ada sudah masuk hampir tiga tahun.
"Sekarang ada beberapa projek yang sedang dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah sedikit sebanyak masalah air di Sabah.
"Kita akan menjadi jambatan dan jurucakap dan cuba akan menyelesaikan dalam tempoh masa tertentu berkenaan isu-isu kemudahan asas ini," ujarnya lagi.
Dalam majlis sama, Zaidi yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah berikrar untuk menyelesaikan masalah sekolah-sekolah daif.
Katanya, ucapan terima kasih dizahirkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) kerana tahun ini diberikan dua kelulusan untuk pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Larkun dan SK Bengkongan.
"InsyaAllah saya yakin dan percaya apabila kita diberikan mandat, kita akan laksanakan tanggungjawab ini dengan baik dan kita akan pastikan sekolah-sekolah daif ini dapat selesaikan dalam tempoh masa lima tahun ini.
"Seterusnya kita harus perbanyakkan pembinaan klinik-klinik desa dan juga menyediakan kemudahan sukan lengkap dan mesra komuniti.
"Ini khususnya kepada belia daripada segi kemudahan sukan, gelanggang. Contohnya kita mempunyai atlet hoki sehingga ke peringkat antarabangsa, tetapi kita tidak ada gelanggang sukan dan mereka hanya berlatih di kawasan padang sekolah.
"Dalam masa lima tahun ini, kita akan sedaya upaya untuk menyelesaikan dan memenuhi kehendak masyarakat secara berperingkat meskipun tidak 100%," ujarnya lagi.





