KEADILAN turun menentang Gabungan Parti Sarawak kali ini dengan manifesto ‘Makmur Bersama KEADILAN’
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak dalam satu kenyataan yang dibaca oleh Penasihat KEADILAN Sarawak, Datuk Seri Hafsah Harun berkata, negeri itu cukup kaya dengan sejarah yang ulung, kepelbagaian kaum, budaya, agama dan sumber alam yang luar biasa. Bagaimanapun, katanya rakyatnya tidak dapat merasa hasil bumi negeri bertuah itu apabila kerajaan kekayaan bertumpuk dalam kalangan pemimpin negeri.
Oleh itu, menurut beliau, KEADILAN membawakan aspirasi ‘Mengangkat Martabat Sarawak, Menjulang Taraf Rakyat’ bagi rakyat memilih pemerintah yang lebih baik pada Pilihan Raya Negeri.
"Selama lebih daripada 5 dekad, kekayaan dan kemakmuran telah dibolot dan dirampas oleh segelintir golongan pemimpin elit dan kroni.
"Ramai pemimpin yang mempunyai kekayaan yang terlalu besar dan hidup sangat mewah, sementara ramai rakyat Sarawak masih dalam kemiskinan dan menderita. Kekayaan Sarawak tidak digunakan dengan cekap, telus, adil dan amanah untuk membangunkan negeri dengan sama rata
"Oleh kerana itu, KEADILAN akan terus memperjuangkan apirasi rakyat untuk memastikan semua rakyat mempunyai akses kepada sistem kesihatan yang lebih baik, peluang pekerjaan yang mantap dan infrastruktur asas seperti air, elektrik, internet dan jalanraya yang selamat," katanya.
Menurut Hafsah lagi, KEADILAN tidak menjanjikan bulan bintang atau pemberian tunai sebagai senjata pilihan raya tetapi bertekad akan membentuk pemerintahan yang telus, akauntabiliti dan berjiwa rakyat sekiranya diberi mandat pada 18 Disember ini.
"KEADILAN akan berusaha untuk memastikan pengembalian status Sabah dan Sarawak berteraskan perjanjian Malaysia 1963, selari dengan aspirasi majoriti besar rakyat Sarawak untuk menuntut keadilan dan kesaksaman.
"KEADILAN akan membawa reformasi dan transformasi yang menyeluruh demi memastikan kemajuan dan kemakmuran dikongsi bersama semua rakyat Sarawak," katanya lagi.
Kommentarer