Manifesto PH suara manifestasi akar umbi, bukan 'copy paste' - Dr Zaliha
- Suara Keadilan

- Jul 6
- 2 min read

Manifesto 'Johor Untuk Semua' yang dilancarkan Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan manifestasi suara dan aspirasi rakyat akar umbi.
Justeru, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPP) KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan kononnya manifesto tersebut sekadar manifesto 'copy paste'.
"Ada orang kata kita keluarkan manifesto ini lambat, seminggu lambat dia kata. Dia kata, bila dia bandingkan antara manifesto Barisan Nasional (BN) dan juga PH, dia kata kita 'copy and paste' manifesto tersebut.
"Saya nak tanya anda semua di sini, betulkah kerja kita ini 'copy paste'? Betul Ke? Tidak.
"Kita buat kerja ini begitu lama untuk turun ke bawah, mendengar suara rakyat, mendengar rintihan rakyat. Kita tawarkan apa yang dikehendaki akar umbi dan rakyat," katanya pada Program Ramah Mesra Bersama PMX di Kampung Jawa di Segamat pada Ahad.
Dr Zaliha berkata begitu sebagai respon kepada kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mendakwa apa yang ditawarkan dalam manifesti tersebut sudah ada dan dilaksana Barisan Nasional.
Manifesto yang dilancarkan Jumaat lalu itu mengandungi pelan tindakan yang jelas bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, termasuk mewujudkan Dana Anak Muda Johor bernilai RM500 juta, memperkasa peluang pekerjaan dan pendidikan, memperkukuh sistem pengangkutan awam serta mobiliti rentas sempadan.
Sekiranya PH mengambil alih pentadbiran negeri, gabungan itu akan mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik termasuk menyediakan wang deposit sebanyak RM8,000 kepada golongan muda yang pertama kali membeli rumah.
Selain itu, Skim Kesihatan Johor yang menawarkan perlindungan kesihatan hingga RM100,000 setahun bagi golongan B40, M40, dan Orang Kurang Upaya (OKU) akan diperkenal, selain menghidupkan semula Kad Sihat Johor dengan sasaran 500,000 orang akan mendapat manfaat.
"Banyak lagi perkara lain yang kita tawarkan (seperti) RM500 juta juga kita tawarkan untuk membantu anak muda kita," kata Dr Zaliha lagi.




Comments