Manifesto PH 'Johor Untuk Semua' tepat masa
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 1 min read

Manifesto "Johor Untuk Semua” oleh Pakatan Harapan (PH) dilancarkan tepat pada masanya selepas kandungannya dimuktamadkan dan dipersetujui pimpinan tertinggi gabungan itu.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil berkata, tanggapan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming bahawa kelewatan pelancaran manifesto boleh melemahkan jentera kempen PH itu, jauh tersasar daripada realiti.
"Saya kira manifesto itu dilancarkan tepat pada masanya, iaitu pada hari Jumaat yang bersamaan dengan permulaan minggu kedua kempen, selepas kita merasakan bahan dan kandungan manifesto telah cukup lengkap serta mendapat persetujuan pimpinan tertinggi, termasuk Perdana Menteri.
"Selepas kita memperkenalkan calon, kini kedua-dua pihak memperagakan manifesto masing-masing. Saya rasa ia tepat pada masanya. Tidak menjadi isu," katanya dipetik.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi ditemui selepas program ramah mesra bersama-sama penduduk Kampung Istana, di Batu Pahat pada Sabtu.
Sementara itu sebagai mengulas kehadirannya di kampung tersebut, Fahmi melihat potensi kampung itu dalam sektor agropelancongan berikutan kedudukannya di laluan menuju ke Gunung Banang.
Justeru dengan adanya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di kawasan tersebut beliau yakin ia berupaya memperkasa sektor ekopelancongan kampung tersebut termasuk menerusi latihan promosi kepada usahawan tempatan.




Comments