top of page

Mangsa banjir Sepanggar diminta segera daftar di PPS Dewan Manggatal

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
18 hours ago
2 min read
Hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan di Kiansom, Inanam dinaiki air, 2 Oktober 2026. Foto Ihsan Drone info Sabah melalui Facebook
Hujan lebat menyebabkan beberapa kawasan di Kiansom, Inanam dinaiki air, 2 Oktober 2026. Foto Ihsan Drone info Sabah melalui Facebook

Mangsa banjir di kawasan Sepanggar, khususnya sekitar Kampung Kironggu, Inanam diminta segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Manggatal sekiranya kediaman mereka tidak lagi selamat untuk didiami.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata keadaan di Kampung Kironggu antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir kilat yang melanda kelmarin.


Beliau berkata hasil tinjauan di kawasan berkenaan mendapati sekurang-kurangnya tiga rumah ditenggelami air menyebabkan barangan milik mangsa mengalami kerosakan.


“Di sekitar ini saja ada tiga buah rumah yang tenggelam. Air masuk ke dalam rumah dan barang-barang hampir semuanya ada yang rosak,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di media sosial.


Terdahulu Mustapha bersama pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar turun padang meninjau keadaan banjir serta bertemu dengan penduduk yang terjejas di beberapa kawasan sekitar Sepanggar.


Lawatan melibatkan beberapa lokasi di Parlimen Sepanggar termasuk Kg. Maruah Sumagid, Kg. Boronuon, Kg. Rampayan, Kg. Kironggu, Kg. Kiambalang dan Kg. Bambangan.



Sehubungan itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar meminta ketua isi rumah atau wakil keluarga mangsa yang terjejas supaya segera mendaftar di PPS Dewan Manggatal bagi memudahkan bantuan disalurkan.


Beliau berkata pendaftaran itu penting supaya bantuan daripada Kerajaan MADANI dan Kerajaan Negeri Sabah dapat disampaikan dengan lebih cepat dan teratur kepada keluarga yang benar-benar memerlukan.


“Mohon supaya ketua isi rumah atau wakil pergi mendaftar ke dewan tersebut untuk memudahkan kita menyalurkan bantuan-bantuan daripada Kerajaan MADANI dan juga Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.


Mustapha turut meminta ketua kampung, pasukan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) membantu menyampaikan maklumat mengenai PPS kepada semua mangsa banjir bagi memastikan tiada keluarga terjejas tercicir daripada menerima bantuan.


Kata beliau pihaknya memahami kesukaran yang dihadapi mangsa terutama apabila banyak barangan rumah mengalami kerosakan akibat banjir.


“Jangan ada yang terlepas sebab kita mahu mempermudahkan, melegakan. Saya tahu banyak barang-barang yang rosak,” katanya.


Dalam pada itu, Mustapha berkata kerajaan akan cuba membantu meringankan beban keluarga yang terjejas termasuk melalui sumbangan kepada mangsa walaupun bantuan berkenaan tidak bertujuan menggantikan keseluruhan kerugian yang dialami.


“Jadi kita akan cuba, bukan menggantikan semuanya tapi sekurang-kurangnya kita memberikan rasa simpati kita dengan memberi sumbangan sedikit untuk meringankan beban keluarga yang terkena musibah banjir ini,” katanya.


Sebelum ini, Mustapha mengingatkan warga Sepanggar yang terjejas supaya mengutamakan keselamatan keluarga dan tidak mengambil risiko untuk terus berada di kediaman sekiranya keadaan sudah tidak selamat.


Beliau berkata pendaftaran di PPS juga penting bagi membolehkan bantuan kerajaan disalurkan dengan lebih cepat dan teratur kepada mangsa yang memerlukan.


"Sama-sama kita jaga satu sama lain. Semoga keadaan cepat pulih dan segala urusan dipermudahkan," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page