Mangsa banjir di Lembah Permai, Bukit Belacan, Ampang menerima tambahan bantuan sebanyak RM500 semalam selepas seminggu banjir tersebut melanda.
Bantuan berkenaan disampaikan oleh Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail semalam.
"Hari ini saya bersama Tuan Pegawai Daerah menyampaikan amanat dari Menteri Besar untuk menyampaikan tambahan (bantuan) RM500 lagi yang perlu disampaikan.
"Kita lihat di sini rumah mangsa telah banyak yang dibersihkan tetapi masih lagi memerlukann bantuan tambahan kerana kejadian yang berlaku hampir 2 minggu lepas itu banyak menyebabkan kerosakan harta benda," katanya kepada Suara Keadilan.
Selain itu, Rodziah turut mengucapkan penghargaan kepada semua yang membantu membersihkan banjir lumpur, memindahkan keluarga dan juga menghulurkan bantuan sama ada berbentuk material atau pun tunai.
"Saya ambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama Pejabat Daerah, MPAJ, Penyelaras DUN Lembah Jaya dan Bukit Antarbangsa, termasuk juga kepada semua badan politik yang telah membantu mereka (mangsa banjir) sesegera mungkin
"Saya bersyukur keadaan kembali bersih. Saya menganggarkan keseluruhan hal ini dapat kita selesaikan dalam sebulan," katanya.
Banjir pada 23 November tersebut menyebabkan 64 buah rumah atau 258 mangsa ditenggelami air banjir lumpur kira kira 1 meter, dan beberapa keluarga terpaksa dipindahkan ke penempatan sementara.
Commentaires