Manfaatkan setiap saat kempen, fokus bawa suara rakyat Johor - Nurul Izzah
- Sidiqin Omar

- 1 hour ago
- 2 min read

Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menyeru seluruh jentera Pakatan Harapan (PH) agar memanfaatkan setiap saat sepanjang tempoh berkempen bagi memastikan kemenangan calon gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Berucap pada hari penamaan calon di ADTEC Batu Pahat bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, beliau berkata setiap pengorbanan dan usaha sepanjang kempen perlu digerakkan dengan penuh keikhlasan kerana matlamat utama adalah memastikan suara rakyat terus dibawa ke Dewan Undangan Negeri.

"Kalau matlamat kita sudah jelas, kita kena bekerja habis-habisan kerana yang kita perjuangkan ialah suara rakyat dalam Dewan Negeri," katanya.
Menurut beliau, rakyat perlu membuat pilihan berdasarkan masa depan negeri dan bukannya terpengaruh dengan kempen yang hanya memainkan sentimen atau politik kebencian.
Sebaliknya, beliau mengajak pengundi menilai isu-isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat seperti pembangunan negeri, cabaran banjir, cuaca ekstrem, peluang pekerjaan serta keperluan mewujudkan kerjasama yang kukuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
"Kita bercakap tentang pembangunan dan masa depan Johor. Kita perlu melihat 10 langkah ke hadapan, bukan membuat keputusan hanya mengikut emosi atau apa yang dilihat di media sosial," katanya.
Nurul Izzah turut mengingatkan masyarakat supaya mengamalkan sikap sederhana, berfikir secara rasional dan menilai sesuatu isu dengan bijaksana sebelum membuat keputusan.
Beliau berkata perjuangan politik menuntut kesabaran, ketabahan dan keyakinan, justeru jentera perlu memainkan peranan mendekati rakyat melalui penerangan yang berhemah, perbincangan serta pujukan yang baik.
"Perubahan bermula daripada diri kita sendiri. Dalam setiap perjuangan pasti ada cabaran, tetapi itulah yang memberi makna kepada pengorbanan kita," katanya.
Beliau turut menggesa jentera mengelakkan polemik dan drama politik sepanjang kempen, sebaliknya memberi tumpuan kepada penyelesaian terhadap masalah rakyat serta menawarkan dasar dan calon terbaik kepada pengundi.
Dalam masa sama, Nurul Izzah menyeru semua sukarelawan dan jentera supaya terus meluangkan masa sehingga hari pengundian bagi membantu memastikan kemenangan calon PH di DUN Senggarang.
"Setiap saat itu berharga. Siapa yang mampu meluangkan masa sehingga hari mengundi, bantulah supaya kita dapat memenangkan calon kita," katanya.
Terdahulu, beberapa ratus penyokong PH mengiringi calon DUN Senggarang, Onn Abu Bakar ke Pusat Penamaan calon ADTEC Batu Pahat.




Comments