Mana suara Pemuda Pas Selangor ketika Sanusi hina Sultan Selangor?
- Azuan Ab Rahman

- Apr 26
- 2 min read

KEADILAN Selangor mempersoalkan sikap lantang Ketua Pemuda Pas Selangor, Sukri Omar yang galak menyerang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki berhubung cadangan yang didakwa bertentangan titah Sultan Selangor.
Ketua Penerangannya, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) mempersoalkan mengapa sikap sama tidak ditonjolkan Shukri ketika Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terpalit kontroversi berkaitan Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini.
"Ketika Sanusi menghina Tuanku Sultan Selangor. Suara Shukri Omar dan golongan pemudanya terus bungkam, menikus dan seolah-olah penghinaan itu bukan satu penderhakaan.
"Adakah Shukri Omar 'koma otak' waktu itu; sehingga hilang segala kependekaran dan kepandiran beliau hanya kerana penghinaan tersebut dilakukan oleh pemimpin mereka?" soalnya dalam kenyataan.
Saifuddin turut menyentuh kembali kronologi penderhakaan Sanusi yang membawa murka Sultan Sharafuddin.
Kenyataan Sanusi yang menghina dan mempertikaikan kewibawaan Institusi Diraja Selangor pada Julai 2023 berlarutan sehingga Ahli Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis yang akhirnya memaksa pemimpin utama Pas itu memohon ampun kepada institusi Diraja Selangor.
Terdahulu, Siew Ki ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor memohon pertimbangan kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.
Susulan cadangan tersebut, pembangkang terus mengecam beliau dengan mendakwanya sebagai menderhaka kepada titah Sultan Sharafuddin yang menyarankan daging babi diimport dari luar bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam di negeri itu.
Sementara itu menurut Saifuddin, serangan ke atas wakil rakyat DAP itu berbanding membiarkan penderhakaan Sanusi terhadap Sultan Selangor hanya menunjukkan parti Islam itu lebih gemar menunggang sentimen dan perkauman sebagai modal politik murahan.
"Dalam isu ini, mereka segera bangun berpolemik dan berpolitik. Tidak kurang 10 laporan polis telah dibuat dan mereka mendesak YB Siew Ki ditangkap.
"Tindakan Pemuda Pas Selangor ini membuktikan mereka sering kehabisan idea untuk menyerang Kerajaan Negeri Selangor yang menunjukkan prestasi baik berbanding negeri diterajui parti itu," tambahnya.
Saifuddin turut menegaskan, saranan Siew Ki di Dewan Negeri hanya sebagai mewakili suara rakyat di kawasan melalui ruangnya sebagai ADN dalam Sidang Dewan Negeri yang jelas fungsi keberadaannya.
"Akhirnya berapa banyak peluang membahaskan perkara penting untuk kebajikan rakyat terlepas begitu sahaja, kerana kita sering tersepit dalam perlumbaan menunjukkan siapa yang setia dan siapa derhaka pada konteks salah?
"Paling rugi rakyat yang mengharapkan ahli politik meletakkan pertimbangan wajar dan memberikan keutamaan terutama ketika dunia berdepan krisis tenaga terburuk dalam beberapa dekad," tambahnya.




Comments