Tenaga boleh diperbaharui melibatkan solar, angin, air dan sebagainya sedang giat diusahakan oleh banyak negara di dunia.
Namun Malaysia tidak dilihat mempunyai pelan yang komprehensif berkenaan tenaga boleh diperbaharui, juga tidak kelihatan menonjol mana mana syarikat tenaga melakukan pelaburan besar besaran ke atas sektor berkenaan.
Bagi calon Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Prasanth Kumar Brakasam, Malaysia telah membelanjakan lebih RM20 bilion hanya untuk mengimport arang batu bagi penjanaan elektrik dan hal itu, katanya, menyumbang kepada bil elektrik pengguna yang tinggi.
Begitu juga, katanya, tarif yang dikenakan Tenaga Nasional Berhad ketika ini menyebabkan penggunaan tenaga solar tidak efisien kerana kos keseluruhan adalah jauh lebih mahal berbanding manfaat sekiranya rakyat menjana tenaga sendiri.
"Bagi sektor kerajaan pula, bangunan kerajaan yang menggunakan lampu halogen secara konsisten dan kaedah piawaian kecekapan yang lapuk telah menyumbang kepada permintaan tenaga yang berlebihan dan akhirnya menyumbang kepada perbelanjaan tenaga hampir tiga kali ganda daripada yang sepatutnya.
"Faktor ini akhirnya mendorong kepada penggunaan tenaga berlebihan yang menjadikan harga elektrik lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, dalam hal tersebut kata Prasanth, terdapat beberapa alternatif yang boleh diambil. Terutama dengan menggunakan grid tenaga hijau yang boleh membantu menurunkan bil utiliti dan juga merangsang ekonomi hijau baharu.
"Dengan mengubah kadar Feed-in-Tariff (FiT), kita boleh mengurangkan kos pemilikan solar secara keseluruhan dan memastikan isi rumah berupaya mengurangkan bil elektrik mereka sehingga 90%
"Untuk bangunan dan premis kerajaan pula, penguatkuasaan penggunaan lampu LED dan pelaksanaan lebih ketat tahap kecekapan tenaga mampu mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 85%, dan semua ini dapat menurunkan import arang batu selain mewujudkan peluang-peluang permintaan bekalan untuk industri hijau bagi perusahaan kecil dan sederhana.
"Tuntasnya, kita dapat kurangkan kebergantungan import tenaga dan kita tingkatkan pula peluang pekerjaan hijau dengan pendapatan sederhana hingga tinggi, khususnya buat anak-anak muda," katanya lagi.
Justeru Prasanth berkata, anak muda perlu bergerak ke arah perubahan radikal sektor tenaga berkenaan dan menyokong pembaharuan dasar dalam sektor tenaga.
AMK pula katanya, perlukah menjadi radical policy-driven dalam hal ini bagi memudahkan perubahan berlaku.
留言