top of page

'MalaysiaNow salah lapor, Zaki Yamani tiada kaitan dengan saya' - Shamsul



Portal berita MalaysiaNow diminta menarik balik laporan yang dibuat berhubung seorang pengguna Twitter bernama Zaki Yamani yang dikaitkan dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri (PM) dalam isu kontroversi mendoakan sesuatu yang buruk ke atas Presiden Pas.


Setiausaha Politik Kanan PM, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin petang tadi menafikan Zaki Yamani merupakan pembantu beliau sebagaimana dilaporkan oleh MalaysiaNow.


"Saya terpanggil memberi respon susulan tular ciapan individu bernama Zaki Yamani berhubung isu kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.


"Pertama sekali, saya menggesa portal berita MalaysiaNow menarik balik dakwaan mengenai kaitan individu tersebut dengan saya mahupun institusi Pejabat Perdana Menteri secara keseluruhannya.


"Meskipun beliau pernah berkhidmat selaku Setiausaha Angkatan Muda KEADILAN (AMK) sewaktu saya memimpin AMK pada tahun 2007 yang lampau, itu tidak membawa sebarang perkaitan atau makna pada masa kini atau dalam mana-mana kapasiti rasmi.


"Oleh itu, dakwaan mengenai perkaitan itu adalah sangat tidak wajar untuk dipolemikkan tanpa asas yang jelas," katanya dalam satu kenyataan.


Sebaliknya, kata Shamsul, atas kapasiti Pejabat Perdana Menteri beliau telah pun berhubung dengan keluarga Tan Sri Abdul Hadi melalui anakandanya sebaik saja berita mengenai keadaan kesihatan Abdul Hadi tersebar.


"Alhamdulillah, komunikasi terjalin baik di samping kami turut diberi perkembangan terkini tentang kesihatan Tan Sri. Mewakili Perdana Menteri dan Pejabat Perdana Menteri, kami mendoakan keafiatan kepada Tan Sri dan berharap agar ruang berziarah dapat diadakan seusai beliau kembali stabil kelak," katanya.


Berkenaan isu twitter tersebut, Shamsul berharap hal itu tidak diperbesarkan oleh netizen kerana PM sendiri telah meminta individu bernama Zaki Yamani tersebut memohon maaf kepada Abdul Hadi dan keluarga.


"Isu ini yang turut telah diberi perhatian oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ciapan beliau memberi gambaran betapa PM begitu berjiwa besar meskipun pelbagai serangan ke atas beliau, namun beliau tidak cenderung mempolitikkan perihal yang sensitif sedemikian rupa sebagaimana yang ditularkan melibatkan individu berkenaan.


"Justeru saya turut senada dengan Perdana Menteri menggesa Zaki dapat mengambil tanggungjawab di atas kenyataan beliau tersebut," katanya lagi.


Untuk rekod, MalaysiaNow dalam laporannya semalam menyatakan Ahmad Zaki Yamani yang merupakan seorang pembantu kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri. Hal itu mengelirukan kerana Setiausaha Politik PM tidak mempunyai peruntukan untuk melantik pembantu atau membayar gaji mereka.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page