top of page

Malaysia - Uzbekistan teroka kerjasama hal ehwal Islam, ekonomi halal

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 28 minutes ago
  • 2 min read
Dr Zulkifli (kanan, bersongkok) bersama delegasi Malaysia berdialog kerjasama strategik dalam pelbagai bidang berkaitan hal ehwal Islam, kewangan Islam serta industri halal bersama Muzaffar Murotovich Kamilov
Dr Zulkifli (kanan, bersongkok) bersama delegasi Malaysia berdialog kerjasama strategik dalam pelbagai bidang berkaitan hal ehwal Islam, kewangan Islam serta industri halal bersama Muzaffar Murotovich Kamilov

Malaysia dan Uzbekistan meneroka peluang kerjasama strategik dalam pelbagai bidang berkaitan hal ehwal Islam, kewangan Islam serta industri halal menerusi mesyuarat dua hala yang diadakan sempena Forum Peradaban Islam Antarabangsa Kali Pertama.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan Penasihat Presiden Uzbekistan, Muzaffar Murotovich Kamilov serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Uzbekistan, Toshboev Sodiq Donoqulovich.


Menurut beliau, mesyuarat itu membincangkan beberapa agenda penting yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara.


"Antara agenda penting yang kami bincangkan demi manfaat kedua-dua buah negara adalah hal ehwal Islam dan pengurusan haji; pemerkasaan wakaf dan kewangan Islam; serta potensi industri halal dan pelancongan mesra Muslim," katanya dalam satu kenyataan.


Dr. Zulkifli berkata, pertemuan tersebut turut memperlihatkan penghargaan Uzbekistan terhadap pengalaman dan kepakaran Malaysia dalam bidang pembangunan Islam.


Beliau berkata, Penasihat Presiden Uzbekistan menyatakan minat yang mendalam terhadap syarahan yang disampaikannya pada Forum Peradaban Islam Antarabangsa Kali Pertama sehingga meminta teks ucapan tersebut dikongsikan kepada pihak mereka.


"Satu penghargaan buat Malaysia apabila TYT Penasihat Presiden menyatakan minat yang mendalam terhadap pengisian syarahan saya di Forum Peradaban Islam Antarabangsa Kali Pertama dan meminta agar teks ucapan tersebut dikongsikan bersama pihak mereka," katanya.


Beliau menambah, hubungan diplomatik yang dibina berasaskan ilmu, keimanan dan nilai-nilai MADANI mampu memperkukuh kerjasama antara negara Islam, khususnya dalam melahirkan generasi muda yang berdaya saing di peringkat global.


"Hubungan jaringan diplomatik berasaskan ilmu, iman dan nilai-nilai MADANI adalah kunci untuk anak muda hari ini melihat Islam kembali memimpin industri global," katanya.


Menurut Zulkifli lagi, kerjasama strategik yang dirintis itu diharap membuka lebih banyak peluang kepada pembangunan dakwah, ekonomi Islam dan pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Uzbekistan pada masa hadapan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page