
Malaysia akan mengutamakan kaedah dialog dan kerjasama secara pragmatik dalam mengemudikan hubungan antarabangsa yang kompleks terutama membabitkan kuasa besar yang sedang bersaing seperti Amerika Syarikat (AS) dan China, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata pihaknya melihat negara kuasa besar tersebut turut memerlukan Kerjasama negara lain di mana Malaysia berpeluang terlibat secara konstruktif.
"Saya tidak berpeluang untuk bertemu dengan Presiden (Amerika Syarikat) Donald Trump, namun daripada apa yang saya dengar mengenai pengumuman-pengumuman yang dibuatnya, saya rasa beliau akan menjadi sangat pragmatik," katanya dipetik Bernama pada sesi “Country Strategy Dialog” yang dikendalikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, di luar Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan percaya Trump turut akan melihat tentang kepentingan untuk bergantung dengan negara lain ketika banyak pengumumannya sebelum ini mahu melindungi kepentingan rakyat Amerika Syarikat sebagai keutamaan.
"Saya rasa beliau juga tahu mengenai kepentingan Amerika Syarikat, dengan saling bergantung antara negara dan beliau perlu untuk melihat banyak kepentingan di luar, termasuk China," katanya.
Dalam pada itu, mengenai Presiden China Xi Jinping pula, Perdana Menteri berkata terdapat kesediaan untuk mempelajari dan melibatkan diri dalam banyak bidang, termasuk dalam apa yang disifatkan oleh Barat sebagai Laut China Selatan yang sangat dipertikaikan.
Anwar menyifatkan kedudukan Malaysia amat unik, sebagai sebuah negara maritim yang bersempadan dengan semua negara di ASEAN dan juga China.
"Kami juga ada isu yang belum selesai dengan Thailand, Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, (tetapi) mengapakah mereka hanya bangkitkan masalah dengan China?" ujarnya.
Anwar berkata Malaysia tidak mengambil sikap defensif dalam pertikaian tentang Laut China Selatan sebaliknya mengakui negara ini mempunyai pertikaian dengan negara jiran dalam ASEAN dan China.
"Saya hanya menyatakan fakta. Adakah terdapat masalah? Ya, ada masalah, tetapi masalahnya melibatkan wilayah. Adakah kita akan melancarkan perang disebabkannya? [Jawapannya] Tidak."
Tegasnya Malaysia menunjukkan komitmen untuk berdialog bagi mengatasi masalah tersebut termasuk bersikap proaktif dalam mencari penyelesaian secara bekerjasama.
"(Sebagai contoh) Kami masih mempunyai beberapa masalah dengan Thailand, yang diselesaikan dengan dua cara - satu melalui pihak berkuasa pembangunan bersama, dan satu lagi dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bersama di selatan Thailand dan utara Semenanjung...maksud saya itu harus menjadi pendekatan kita.
"Saya fikir kita harus mengambil pendekatan yang sama dalam penglibatan dengan negara China, yang telah menjadi sahabat baik yang boleh dipercayai," ujarnya.
Anwar berkata Malaysia memposisikan diri sebagai rakan kongsi yang dipercayai dengan China manakala Amerika Syarikat kekal sebagai rakan kongsi yang sama penting kerana secara kumulatif ia kekal sebagai pelabur terbesar di Malaysia.
Beliau turut menyarankan syarikat-syarikat AS untuk melabur lebih banyak di Malaysia.
"Jika gergasi teknologi seperti Intel boleh menubuhkan pusat kecemerlangan Pulau Pinang, tidak ada sebab pihak lain tidak boleh mengikut jejak langkahnya. Sebagai sebuah negara perdagangan, pendekatan Malaysia sentiasa pragmatik," katanya.
Comments