Malaysia tingkat usaha tangani pelajar tercicir dalam komuniti ASEAN
- Suara Keadilan

- 3 days ago
- 1 min read

Malaysia meneruskan komitmen memperkasa pendidikan inklusif di rantau ASEAN melalui penganjuran Seminar ASEAN Out-of-School Children and Youth (OOSCY) anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) dengan kerjasama UNICEF Malaysia.
Seminar yang dirasmikan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada Sabtu itu merupakan lanjutan kepada Langkawi Joint Statement hasil persidangan meja bulat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN pada Jun lalu.
Menurut kenyataan KPM, seminar berkenaan memberi tumpuan kepada strategi inovatif berasaskan data dan bukti bagi menangani isu kanak-kanak serta belia tercicir sekolah.
"Ia turut menekankan penggunaan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), bagi meningkatkan pengumpulan data dan menyokong intervensi pendidikan berimpak tinggi," jelas kenyataan itu.
Lebih 100 peserta menghadiri seminar tersebut termasuk wakil negara ASEAN, Mongolia, China, India serta rakan strategik antarabangsa seperti UNICEF, UNESCO, OECD dan SEAMEO.
Pada majlis sama, Fadhlina melancarkan Sistem Pengesanan Murid KPM-SiPKPM, iaitu sistem analitik ramalan untuk mengesan murid berisiko tercicir serta membantu merangka laluan pembelajaran dan kerjaya secara lebih peribadi.
Selain itu, program Children’s Co-Lab turut dilaksanakan bagi memberi ruang kepada murid menyuarakan pendapat dan pandangan mereka dalam pembangunan dasar pendidikan serantau.
"Penganjuran seminar ini memperteguh iltizam Malaysia dan ASEAN memastikan setiap kanak-kanak dan belia mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan saksama tanpa ada yang tercicir.
"KPM komited memastikan akses kepada pendidikan berkualiti terus diperkasa, manakala usaha mengekalkan murid dalam sistem pendidikan sentiasa dipertingkatkan," tambah kenyataan tersebut.









Comments