top of page

Malaysia, Thailand percepat projek jalan baharu Sadao-Bukit Kayu Hitam


Oleh: Helmi Mohd Foad


Malaysia dan Thailand bersetuju agar pembinaan jajaran jalan baharu menghubungkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao dan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah dipercepatkan.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakan sejawatannya Srettha Thavisin menyatakan persetujuan tersebut dalam pertemuan dua hala di Sadao hari ini.


Terdahulu kedua-dua pemimpin tersebut mengadakan lawatan tapak ke jajaran jalan baharu yang menghubungkan kompleks CIQ Thailand yang baru di Sadao dan ICQS Bukit Kayu Hitam di Malaysia.


"PM Srettha dan saya telah melawat kedua-dua belah sempadan di Sadao dan Bukit Kayu Hitam bagi meninjau kawasan yang terlibat serta menerima taklimat dari kedua-dua pihak mengenai rencana pelaksanaan dan tantangan yang dihadapi dalam pembinaan jajaran jalan baharu tersebut.


"Kami bersetuju untuk mempercepatkan pembinaan jajaran jalan baru ini agar dapat mempertingkat aktiviti ekonomi, perdagangan dan pelancongan di antara kedua-dua negara," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.


Lawatan itu yang merupakan atas jemputan Srettha antara lain bagi melihat kemajuan projek jajaran jalan menghubungkan pusat pemeriksaan ICQS Bukit Kayu Hitam di Malaysia serta CIQ Sadao, Thailand.


Anwar yang diiringi beberapa menteri, timbalan menteri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan turut mengadakan pertemuan empat mata dengan Srettha sebelum kedua-dua pemimpin kemudian melawat tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao, yang merupakan projek dua hala yang sedang dilaksanakan Malaysia-Thailand.


Perdana Menteri berkata mereka turut membincangkan pembentukan Pasukan Tugas Bersama untuk meneliti dan meningkatkan hubungan dua hala dalam empat bidang yakni perdagangan dan pelaburan, pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan serta keselamatan negara.


"Meskipun kedua-dua negara adalah tetangga dekat, kami merasa bahawa kerjasama perdagangan dan ekonomi masih rendah. Malaysia dan Thailand setuju untuk mengadakan Jawatankuasa Perdagangan Bersama pada suku pertama 2024 untuk menyelesaikan masalah tertunda dan meningkatkan perdagangan dua hala," ujarnya.


Mengenai projek penyambungan, Thailand bersetuju untuk mempercepat pembinaan Jambatan Persahabatan Kedua Rantau Panjang dan Sungai Golok, jelas Anwar.


"Malaysia turut memohon pertimbangan pihak Thailand untuk mempercepat projek jambatan (land-bridge) yang menghubungkan Rantau Panjang-Sungai Golok. PM Srettha bersetuju untuk memulakan projek tersebut seawal tahun hadapan, bersama-sama Malaysia.


"PM Srettha dan saya turut berbincang hal-hal lain yang melingkungi hubungan dua hala Malaysia-Thailand. Insya-Allah, hubungan Malaysia-Thailand akan terus mekar dalam pelbagai sektor demi kepentingan rakyat kedua-dua negara," katanya.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page