Malaysia terus main peranan aktif sebagai Pengerusi ASEAN - PM Anwar
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Perdana Menteri menyatakan komitmen Malaysia untuk terus memainkan peranan aktif sebagai Pengerusi ASEAN.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dinyatakan menerusi panggilan telefon bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone; dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto pada Rabu.
Menyentuh mengenai isu tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, Anwar menegaskan bahawa ASEAN perlu bertindak secara sebulat suara untuk memperkukuhkan kedudukan serantau dan mempertahankan kepentingan jangka panjang di Asia Tenggara.
"Malaysia melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengadakan perbincangan langsung dengan pihak AS.
"Sebagai Pengerusi ASEAN, kita membawa suara bersama negara anggota untuk membuka ruang rundingan bagi semua," katanya yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan.
Sementara itu Anwar memaklumkan Brunei, Laos dan Indonesia menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Malaysia untuk menggalakkan dialog konstruktif demi keamanan dan kestabilan di Myanmar serta keseluruhan ASEAN.
Sokongan itu susulan pertemuan Anwar dengan Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dari Majlis Pentadbiran Negara (SAC) Myanmar serta U Mahn Win Khaing Than mewakili Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) di Bangkok baru-baru ini bagi meredakan ketegangan di Myanmar.
Comments