Malaysia terus depani usaha global membela Palestin – Anwar
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Malaysia akan terus konsisten berada di barisan hadapan memperjuangkan hak rakyat Palestin, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi satu kenyataan beliau berkata, usaha itu diterjemah bukan sahaja menerusi kenyataan tegas di pentas antarabangsa malah dengan menggerakkan kerjasama bersama pemimpin negara serantau dan global.
"Dunia tidak boleh terus berdiam diri tatkala kekejaman ini telah melampaui batas kemanusiaan
"Malaysia terus menggembleng kerjasama dengan pemimpin serantau dan global termasuk Presiden Indonesia, Turkiye, Brazil dan Afrika Selatan untuk memastikan suara keadilan bagi Palestin tidak pernah tenggelam," katanya di Facebook.
Menerusi hantaran itu, Anwar memaklumkan telah dihubungi Presiden Iran, Masoud Pezeshkian yang menzahirkan penghargaan terhadap pendirian tegas Malaysia dalam isu Gaza.
Presiden Pezeshkian turut menyeru Malaysia terus mendepani usaha diplomatik menentang kekejaman dan genosid yang masih berterusan di bumi Palestin.
"Presiden Pezeshkian turut memanjangkan jemputan rasmi untuk saya mengadakan lawatan ke Tehran dalam masa terdekat dan saya sampaikan penghargaan atas kesediaan beliau untuk terus mempererat hubungan antara kedua-dua negara," katanya.
Iran merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di Asia Barat pada tahun 2024 dengan jumlah dagangan bernilai RM2.6 bilion — peningkatan 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. Malaysia juga merupakan rakan dagang terbesar Iran dalam kalangan negara ASEAN dan ke-19 di peringkat global.
Comments