Malaysia terima pengiktirafan tertinggi Zero Waste Foundation
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Malaysia dijadualkan menerima Anugerah Penghargaan Khas Zero Waste Foundation, pengiktirafan tertinggi yang diberikan atas komitmen negara mempromosikan ekonomi kitaran dan pengurusan sisa mampan di peringkat global.
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), anugerah itu akan disampaikan pada Forum Sifar Sisa Global 2025 bertemakan “Zero Waste in Action: People, Places, Progress” yang berlangsung minggu ini di Istanbul, Turki.
"Forum ‘Zero Waste in Action: People, Places, Progress’ itu dijangka menghimpunkan peserta dari 104 negara serta 118 rakan organisasi antarabangsa.
"Menteri KPKT, Nga Kor Ming akan mengetuai delegasi Malaysia ke forum berkenaan, dan dijadual menyampaikan ucaptama pada majlis pembukaan," kata kementerian itu dalam kenyataan.
Beliau juga akan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan Menteri Alam Sekitar, Perbandaran dan Perubahan Iklim Turki, Murat Kurum, serta Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Anaclaudia Roserbach.
Perbincangan dijangka memberi tumpuan kepada usaha mengarusperdanakan agenda bandar baharu, mengukuhkan inisiatif sifar sisa global, dan memastikan Malaysia terus menjadi peneraju serantau dalam dasar kelestarian.
"Nga juga akan menyertai mesyuarat menteri bagi perbandaran dan sifar sisa, serta menyampaikan ucaptama sesi plenari bertemakan “Sifar Sisa sebagai Tanggungjawab Global”, " tambah kenyataan itu.
Sementara itu Nga berkata, beliau berbangga mewakili negara di pentas dunia bagi menunjukkan kemajuan dicapai serta mempelajari amalan terbaik negara lain.
Sebagai Presiden Perhimpunan UN-Habitat, Nga menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama global dan mempercepatkan pembangunan bandar mampan.