top of page

Krisis takhta NS: Mana janji pilihanraya BN-PN, wujud kestabilan politik?

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
38 minutes ago
2 min read

Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) didakwa gagal menunaikan janji Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu berkaitan penyelesaian isu adat Negeri Sembilan apabila krisis di negeri berkenaan semakin memburuk kebelakangan ini.


Timbalan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan, Raihan Md Idris (gambar) berkata sepanjang kempen PRN lalu DAP dipersalahkan kerana mengganggu urusan kerajaan negeri, menimbulkan krisis dan sebagainya. Kini selepas kerajaan Pakatan Harapan disingkir, ternyata usaha yang dilakukan adalah untuk memastikan agenda menggulingkan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz terlaksana, bukannya memberi kesejahteraan kepada rakyat.


"Sebaliknya (mereka) lebih mengutamakan habuan dan tembolok sendiri. Jika kita amati situasi di Negeri Sembilan sejak mereka mengambil alih tampuk kerajaan, suasana pembangunan dan pentadbiran negeri semakin hari semakin suram.


"Banyak isu prasarana asas diabaikan, contohnya lampu-lampu jalan yang rosak tidak diganti sehingga kawasan menjadi gelap-gelita pada waktu malam, manakala jalan raya yang berlubang masih terbiar tanpa pembaikan. Itulah realiti pengurusan mereka," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.


Beliau diminta mengulas polemik berkaitan isu adat yang terus membelenggu Negeri Sembilan di bawah pentadbiran BN-PN, apabila kemelut tersebut masih belum menemui penghujung sehingga kini.


Mengulas lanjut, Raihan berkata, keadaan bertambah kritikal apabila pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) telah dibatalkan oleh Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, kelmarin.


Kata Raihan, tanpa barisan Exco yang sah dan berfungsi, timbul persoalan mengenai pihak yang akan membuat keputusan dan meluluskan projek-projek peruntukan demi kepentingan rakyat.


"Kita tahu bahawa BN dan PN ini sebenarnya hanya mementingkan kuasa semata-mata.


"Sebab itulah mereka dengan mudah mampu menaburkan janji (ketika PRN lalu) yang saya sebutkan pada awalnya tadi," ujarnya.


Antara janji utama BN-PN adalah untuk memastikan pelaburan berbilion ringgit ke Negeri Sembilan yang mustahil terjadi dengan krisis pentadbiran yang melanda pada waktu ini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page