Malaysia terajui usaha ASEAN bantu keamanan Myanmar
- Suara Keadilan
- 4 minutes ago
- 1 min read

Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha ASEAN untuk memulihkan keamanan di Myanmar sekali gus membantu meringankan beban Bangladesh yang kini menampung lebih sejuta pelarian Rohingya, demikian kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, beliau memberitahu bahawa Malaysia akan mengetuai misi khas ASEAN ke Myanmar dalam masa terdekat bersama wakil Indonesia, Filipina dan Thailand bagi memastikan usaha damai dilaksanakan dan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada mangsa konflik serta bencana.
"Menjamin keamanan di Myanmar adalah keutamaan, diikuti pemberian bantuan kemanusiaan segera kepada pelarian dan mangsa gempa bumi yang memerlukan.
"Kami juga prihatin terhadap beban yang ditanggung Bangladesh dalam menangani isu pelarian Rohingya," katanya pada sidang media bersama Ketua Penasihat Bangladesh, Prof. Dr. Muhammad Yunus di Putrajaya hari ini.
Anwar berkata, Malaysia menghargai peranan Bangladesh sebagai negara jiran yang menjadi tuan rumah kepada pelarian Rohingya sejak krisis etnik itu tercetus di Myanmar dan menyifatkan sokongan serantau perlu diperkukuh bagi mencari penyelesaian jangka panjang.
Sementara itu, Yunus mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas sokongan berterusan terhadap Bangladesh dalam menangani isu Rohingya serta berharap kerjasama kedua-dua negara dapat membantu meredakan ketegangan dan memulihkan keamanan di Myanmar.
"Usaha ini adalah demi memastikan keamanan serantau terjamin, ekonomi dapat berkembang dan kehidupan rakyat yang terkesan dapat dipulihkan," katanya.