top of page

Malaysia tekankan tiga keutamaan agenda digital di Persidangan ITU 2026

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
13 hours ago
2 min read
DS Fahmi berucap dalam sesi meja bulat bersama para menteri di Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 di Doha, Qatar
DS Fahmi berucap dalam sesi meja bulat bersama para menteri di Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 di Doha, Qatar

Malaysia menggariskan tiga keutamaan agenda digital negara iaitu ketersambungan digital bermakna, keterangkuman digital serta persekitaran digital yang selamat dan boleh dipercayai pada Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 di Doha, Qatar.


Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dalam ucapannya berkata, ketiga-tiga keutamaan itu penting bagi memastikan transformasi digital memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi dan tahap kesediaan teknologi masing-masing.


Beliau berkata, Malaysia menyambut baik draf Deklarasi Menteri Doha yang mengetengahkan pendekatan menyeluruh dalam menangani peluang serta cabaran transformasi digital ke arah masa depan lebih inklusif, mampan dan berdaya tahan.


"Paling penting, deklarasi ini mengingatkan kita tentang keperluan merapatkan jurang digital serta memastikan setiap individu berpeluang menyertai dan memperoleh manfaat daripada ekonomi digital," katanya pada sesi Meja Bulat Menteri-Menteri sempena persidangan berkenaan.


Menurut Fahmi, ketersambungan digital yang bermakna tidak seharusnya terhad kepada liputan rangkaian semata-mata, sebaliknya perlu mampu milik, boleh dipercayai dan berdaya tahan.


Katanya, infrastruktur digital yang mampan juga penting bagi memastikan kesinambungan komunikasi, khususnya ketika berlaku kecemasan dan gangguan.


Dalam usaha memperluas keterangkuman digital, beliau berkata kerajaan perlu terus melabur dalam pembangunan kemahiran digital, pembinaan kapasiti serta sokongan terhadap inovasi supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat ekonomi digital.


Beliau turut menegaskan bahawa negara membangun dan komuniti yang kurang mendapat kemudahan tidak seharusnya ketinggalan dalam perkembangan kecerdasan buatan (AI) serta teknologi baharu.


"Mereka bukan sahaja perlu diberikan peluang untuk menggunakan teknologi ini, malah turut berpeluang membentuk hala tuju perkembangannya serta menikmati manfaat daripada peluang yang diwujudkan," katanya.


Menyentuh aspek keselamatan digital, Fahmi berkata kepercayaan dan keselamatan merupakan elemen asas bagi membolehkan masyarakat menyertai ekonomi digital dengan penuh keyakinan.


Justeru, katanya, keselamatan siber, perlindungan kanak-kanak dalam talian serta pembangunan dan penggunaan teknologi baharu secara bertanggungjawab perlu diberikan penekanan.


"Bagi Malaysia, inovasi mesti bergerak seiring dengan langkah perlindungan yang sewajarnya. Pendekatan ini akan memberikan keyakinan kepada masyarakat untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan oleh teknologi digital," katanya.


Dalam pada itu, Malaysia turut menyambut baik penekanan Deklarasi Menteri Doha terhadap kerjasama antarabangsa serta mengiktiraf peranan penting ITU dalam memperluas ketersambungan, membangunkan piawaian teknikal dan membina kapasiti.


Fahmi berkata, Malaysia berharap dapat terus bekerjasama dengan ITU dan negara anggota lain bagi memastikan masa depan digital bukan sahaja lebih terhubung dan inklusif, malah lebih selamat serta saksama untuk semua.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page