Malaysia tekad teraju teknologi AI serantau berpaksikan Asia Tenggara
- Suara Keadilan

- Aug 13
- 2 min read

Malaysia bertekad memacu teknologi kecerdasan buatan (AI) bukan sekadar untuk mengejar negara lain malah untuk menjadi peneraju dunia dengan model inovasi yang berpaksikan nilai Asia Tenggara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata teknologi AI mesti dibangunkan secara inklusif, beretika dan berlandaskan nilai bersama bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai semua lapisan masyarakat.
Beliau membuat seruan itu ketika rantau ASEAN berada di persimpangan penting yang akan menentukan masa depan ekonomi, identiti budaya, keyakinan rakyat dan kepimpinan moral untuk generasi akan datang.
"Dengan lebih 700 juta penduduk, ekonomi digital yang pesat berkembang dan kepelbagaian budaya serta bahasa, ASEAN berpeluang membentuk AI yang inklusif, beretika dan sejajar dengan nilai kita.
"Jika kita melangkah dengan pandangan jauh dan keberanian, AI mampu merapatkan jurang pembangunan, mengangkat komuniti luar bandar, memperkukuh perkhidmatan awam dan memperluas akses kepada kesihatan, pendidikan dan keadilan," katanya dipetik ketika berucap pada ASEAN AI Malaysia Summit 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan visi negara ini adalah untuk menjadikan AI sebagai pemacu kepada tadbir urus yang lebih baik, inovasi dan peningkatan taraf hidup rakyat.
Melalui Kerangka Negara AI, Malaysia akan memastikan AI memberi manfaat kepada setiap rakyat di seluruh negara, ujarnya.
Kerangka itu dibina atas lima tonggak utama iaitu dasar berpandangan jauh; tenaga kerja tangkas dan celik digital; infrastruktur digital yang selamat dan boleh dipercayai; pemerkasaan kepercayaan digital; serta pelaburan strategik melalui kerjasama awam-swasta dan kolaborasi global.
Perdana Menteri berkata langkah ini akan menggerakkan Ekonomi MADANI ke arah ekosistem AI yang maju, inklusif, dipercayai dan mempunyai tujuan jelas.
Beliau menegaskan transformasi ini adalah lebih daripada sekadar pelan, sebaliknya satu gerakan nasional yang akan dipacu oleh Kementerian Digital bersama Pejabat AI Nasional.
"Dulu, lebuh raya dan pelabuhan menjadi nadi pertumbuhan ekonomi kita. Kini kita akan membina lebuh raya pintar, saluran data selamat, bakat masa depan dan garis panduan etika untuk AI.
"Ini adalah lonjakan besar Malaysia dari penerimaan teknologi kepada pembinaan negara berteraskan AI dan kita akan sampai ke sana bersama, dengan kesatuan, tekad dan iltizam yang tidak tergoyah," kata beliau.









Comments