Malaysia tegas pertahan dasar Bumiputera dalam rundingan tarif AS – PM
- Suara Keadilan

- Aug 5
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Malaysia tidak akan berkompromi dalam mempertahankan dasar Bumiputera dan beberapa dasar utama negara walaupun berdepan tekanan dalam rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS), demikian menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata Malaysia merupakan antara segelintir negara yang menolak tuntutan bersifat bertentangan dengan semangat dasar nasional, khususnya melibatkan dasar afirmatif Bumiputera yang dianggap oleh Washington sebagai diskriminatif.
"Paling penting, dasar Bumiputera yang dianggap diskriminatif oleh AS itu akhirnya diterima kerana kita tetap pertahankan. Malaysia tidak boleh tunduk dalam hal ini," kata beliau ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, meskipun beberapa negara lain bersetuju dengan tuntutan Amerika Syarikat, Malaysia kekal bertegas mempertahankan prinsip sendiri dalam rundingan tersebut.
Menurut Perdana Menteri, hasil rundingan tersebut menyaksikan Malaysia berjaya mengekalkan kadar tarif balas pada kadar 19 peratus, lebih rendah daripada angka awal yang dicadangkan sebelum ini.
Beliau menegaskan, kerajaan sentiasa berhati-hati dalam menilai risiko terhadap ekonomi negara kerana Malaysia merupakan sebuah negara perdagangan yang mempunyai nilai dagangan tinggi dengan AS.
"Kita boleh menang sorak, tetapi negara rugi dan ratusan ribu rakyat akan terkesan. Saya bertanggungjawab untuk mempertahankan kepentingan rakyat," tegasnya.
Berkaitan isu-isu teknikal seperti dasar import-eksport, kata beliau Malaysia bersikap terbuka dan bertolak ansur, bukan sahaja kepada AS malah juga negara lain termasuk China.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa keputusan Malaysia Aviation Group (MAG) untuk membeli pesawat Boeing dibuat berdasarkan keperluan syarikat, dan bukan didorong oleh tekanan luar.
Beliau menambah Boeing bukan satu-satunya pengeluar pesawat yang dirunding, malah semasa lawatan rasmi ke Perancis baru-baru ini, Malaysia turut berbincang mengenai pembelian pesawat Airbus dengan Presiden Emmanuel Macron.
Malaysia juga berunding dengan beberapa negara lain termasuk Brazil dan China, namun menurut beliau, China memaklumkan pesawat buatan mereka hanya untuk kegunaan domestik buat masa ini.
Anwar juga memaklumkan bahawa MAG telah mencatatkan keuntungan pada 2024 selepas mengalami kerugian bertahun-tahun, berikutan pengurusan yang lebih cekap dan telus.
"Kita kena beli banyak pesawat kerana banyak laluan yang dibatalkan sebelum ini. Ini soal permintaan dan penawaran. Kedua-dua syarikat (Boeing dan Airbus) juga mempunyai kilang komponen di Malaysia," katanya.
Beliau menjelaskan komponen pesawat seperti sayap Airbus dihasilkan di Negeri Sembilan, Kulim dan Selangor manakala sebahagian komponen Boeing turut dikilangkan di dalam negara.
Dalam nada tegas, Anwar menegaskan pendirian Malaysia dalam rundingan perdagangan antarabangsa akan terus bersandarkan kepada prinsip keadilan ekonomi dan kedaulatan dasar nasional.
Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan luar yang boleh menjejaskan keseimbangan sosial dan ekonomi domestik, khususnya yang menyentuh soal keadilan sosial untuk rakyat pelbagai kaum, tegas Perdana Menteri.
"Kita bukan anti-perdagangan atau anti-AS. Tetapi kita mesti tegas apabila dasar kita cuba dicabar. Ini tentang maruah dan kedaulatan dasar negara," ujar beliau.









Comments