top of page

'Black 14' kebangkitan reformasi, ubah landskap politik negara

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 3 hours ago
  • 2 min read
Poster Black 14 menjadi ancaman kepada kerajaan pada 1999
Poster Black 14 menjadi ancaman kepada kerajaan pada 1999

Tanggal 14 April memperingati peristiwa 'Black 14', simbol luka yang mencetuskan kebangkitan rakyat menuntut keadilan susulan keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999, sekali gus menandakan titik mula gelombang reformasi yang mengubah landskap politik negara.


Ketua Cabang KEADILAN Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan, 14 April bukanlah sekadar tarikh, sebaliknya menjadi peringatan tentang mata lebam, suara yang cuba dipadam dan keberanian rakyat yang bangkit melawan kezaliman.


"Saya ketika itu baru mencecah usia 24 tahun tentunya masih ingat gelita tersebut. Apabila Datuk Seri Anwar dijatuhkan dengan proses yang mencalar nurani keadilan, ia bukan sekadar hukuman ke atas seorang individu, tetapi ujian terhadap maruah negara.


"Namun dari luka itulah lahirnya gelombang. Rakyat pelbagai kaum turun ke jalan, menuntut kebenaran.

DS Shamsul penggerak awal AMK pada 1999
DS Shamsul penggerak awal AMK pada 1999

"Pemuda KEADILAN dan Gerakan Bebas Anwar menggerakkan 'Black 14', satu simbol bahawa keadilan tidak boleh dipenjara," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi beliau.


Mengimbau memori yang melibatkan Presiden KEADILAN itu, Shamsul berkata, terdapat aktivis reformasi yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ditekan, difitnah dan disekat namun semangat mereka tidak pernah mati.


"Patah galah dalam perahu, perahu hanyut di tengah lautan, biar rebah tubuhku dahulu, jangan rebah prinsip perjuangan.


"Dari 1998 hingga kini, perjuangan ini mengajar kita (tentang) keadilan mungkin ditangguhkan, tetapi tidak akan dapat dipadamkan.


"Hari ini, tugas kita bukan sekadar mengingati, tetapi memastikan kezaliman tidak berulang dan demokrasi terus dipertahankan.


"Layar dikibar menuju seberang, angin kencang bukan halangan, selagi nyawa di badan orang, selagi itu teguh perjuangan," katanya dalam rangkap pantun.


Beliau mengakhiri penulisannya dengan menegaskan bahawa reformasi bukanlah nostalgia, sebaliknya merupakan amanah.


Untuk rekod, Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998, sebelum dipecat oleh UMNO keesokannya daripada jawatan timbalan presiden dan anggota parti itu.


Manakala tarikh 14 April 1999 diingati oleh pejuang reformasi apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara enam tahun selepas Anwar disabitkan dengan salah guna kuasa.


Beliau kemudian dibebaskan pada 2 September 2004 selepas hampir enam tahun menjalani hukuman penjara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page