top of page

Malaysia tampil ejen perpaduan ASEAN, PMX amal 'soft diplomacy' - Yuneswaran

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Oleh: Sidiqin Omar


WAWANCARA: Malaysia terus mengukuhkan peranannya sebagai ejen perpaduan dalam kalangan negara ASEAN apabila tampil memainkan peranan penting dalam usaha mendamaikan konflik antara Thailand dan Kemboja, selaras dengan prinsip keamanan dan kemanusiaan yang menjadi teras dasar luar negara.


Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran berkata, pendekatan diplomasi yang digunakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuktikan bahawa keamanan sentiasa menjadi keutamaan Malaysia dalam menangani sebarang konflik serantau.


"Sebagai negara dan sebagai pemimpin, kalau matlamat kita adalah keamanan, maka perkara lain itu bukan lagi keutamaan.


"Isu Thailand–Kemboja ini menunjukkan bagaimana kepimpinan Perdana Menteri menggunakan platform yang betul untuk menyelesaikan konflik," kata Yuneswaran dalam wawancara eksklusif bersama Suara Keadilan.


Menurut Ahli Parlimen Segamat itu, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menunjukkan pendirian tegas terhadap isu-isu kemanusiaan serantau dan global termasuk krisis di Myanmar, isu Rohingya, perang Rusia-Ukraine serta isu perjuangan rakyat Palestin.


"Prinsip beliau jelas. Humanity comes first. Kalau visi seorang pemimpin adalah keamanan, maka perkara lain bukan lagi masalah utama," katanya.


Tegas Yuneswaran, pengalaman mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan rasmi ke luar negara, termasuk pertemuan dengan pemimpin tertinggi Rusia memperlihatkan gaya kepimpinan Datuk Seri Anwar yang menekankan pendekatan 'soft diplomacy'.


"Cara beliau memimpin sangat tenang, berhemah dan berprinsip. Datuk Seri Anwar bukan sahaja seorang pemimpin, tetapi juga seorang peacemaker yang menggunakan pendekatan lembut dalam diplomasi. Ini sesuatu yang kita perlu pelajari," ujarnya.


Ikon perpaduan negara


Beliau turut menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ikon perpaduan negara, selari dengan konsep Kerajaan Perpaduan dan gagasan Malaysia MADANI yang menjadi asas pentadbiran hari ini.


"Bagi saya secara peribadi, ikon perpaduan negara kita ialah Anwar Ibrahim. Dalam setiap ucapan, beliau sentiasa menyebut ‘anak kita’, anak Melayu, anak Cina, anak India, semuanya anak kita.


"Ada orang gunakan ia sebagai jenaka.. Tapi itu bukan retorik, itu adalah realiti kepimpinan beliau hari ini," ujarnya menjelaskan peranan Malaysia sebagai pendamai serantau bukan sekadar dasar luar, tetapi lahir daripada budaya perpaduan yang telah lama berakar dalam masyarakat negara ini.


Tambahnya, pendekatan kepimpinan berjiwa kebapaan yang ditampilkan PM mencerminkan kefahaman mendalam bahawa Malaysia adalah milik semua rakyat tanpa mengira latar belakang.


"Hanya seorang pemimpin yang ada 'fatherly mindset' boleh melihat negara ini sebagai milik bersama."


Katanya, nilai perpaduan yang ditekankan Perdana Menteri turut diterjemahkan melalui dasar pendidikan dan ekonomi yang lebih inklusif demi menyatukan rakyat.


Promosi keamaman di peringkat antarabangsa


Beliau menegaskan, pengalaman hidup dalam masyarakat berbilang kaum menjadikan Malaysia lebih bersedia untuk memahami, menghormati dan mengurus perbezaan, sekali gus melahirkan pemimpin yang berupaya membawa mesej keamanan.


"Sebab kita pernah hidup bersama semua masyarakat, kita tahu apa itu toleransi dan hormat. Inilah yang melahirkan pemimpin seperti PM kita.


"Nama pun Kerajaan Perpaduan. Jadi setiap tindakan, setiap dasar, mesti berteraskan perpaduan. Itulah yang Datuk Seri Anwar bawa, bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi juga kepada ASEAN dan dunia," katanya.


Bagi Yuneswaran, keunikan Malaysia sebagai negara majmuk menjadi kekuatan utama dalam membolehkan negara ini mempromosikan keamanan di peringkat antarabangsa.


"Kita ini unik. Pagi kita makan makanan India, tengah hari makanan Melayu, malam mungkin makanan Cina. Budaya kita sudah 'mix and match'.


"Inilah yang mengajar kita tentang toleransi dan bagaimana untuk membawa mesej keamanan kepada dunia," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page