KEADILAN Putrajaya sokong padu reformasi institusi, pendidikan PM
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
KEADILAN Cabang Putrajaya menzahirkan sokongan penuh terhadap agenda reformasi Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketuanya, Muhammad Fikri Abd Aziz berkata, pihaknya akan berdiri teguh di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar yang giat melakukan pelbagai reformasi institusi kebelakangan ini.
"Beberapa minggu lalu, kita telah menyaksikan beberapa perkara penting telah diumumkan.
"Antaranya berkenaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN). Pengumuman baru itu seperti pengambilan pelajar Tahun Satu bermula umur 6 tahun.
"Ini merupakan satu langkah besar dalam sistem pendidikan negara dan ini juga satu lagi anjakan paradigma oleh Kerajaan MADANI.
"Kami menyokong penuh semua inisiatif atau perancangan yang telah diumumkan oleh PMX (Datuk Seri Anwar)," katanya pada sidang media anjuran KEADILAN Putrajaya, semalam.
Dalam sidang media sama, Muhammad Fikri turut memaklumkan bahawa pihaknya telah selesai mengadakan kursus penampilan imej atau memperkasakan imej dan kepimpinan yang telah dianjurkan oleh Biro Penjenamaan KEADILAN Putrajaya diketuai saudara Steven.
"Kehadiran amat memberangsangkan kerana setiap Cabang di Wilayah Persekutuan telah menghantar wakil dan ini julung kali diadakan di peringkat Wilayah Persekutuan.
"Kita juga telah mendapat maklum positif di mana kita akan melaksanakan kursus ini di Cabang-Cabang di Wilayah Persekutuan. Pada masa sama, kita juga telah menerima tempahan daripada Cabang-Cabang Wilayah Persekutuan yang lain.
"InsyaAllah jika ada peluang dan kesempatan, kita akan memperluaskan lagi kursus seumpama ini di luar Wilayah Persekutuan," ujar beliau yang juga Timbalan Pengerusi MPN KEADILAN Wilayah Persekutuan.









Comments