Malaysia sokong pendirian OIC, tolak pengiktirafan Israel atas Somaliland
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Malaysia menyatakan pendirian sama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan sekumpulan besar negara lain dalam menolak pengiktirafan Israel terhadap wilayah yang digelar “Somaliland”.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia menentang secara tegas sebarang usaha menggunakan Somaliland atau mana-mana wilayah lain sebagai destinasi pemindahan paksa atau pengusiran rakyat Palestin dari Gaza.
"Cadangan sedemikian sama sekali tidak boleh diterima, melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan serta hanya akan mengekalkan ketidakadilan, bukannya menyumbang kepada keamanan.
"Kami menolak semua tindakan yang melemahkan orde undang-undang antarabangsa," katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.
Wilayah Somaliland mengisytiharkan pemisahan diri daripada Somalia pada 1991 selepas kejatuhan rejim Siad Barre, namun sehingga kini tidak diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau majoriti masyarakat antarabangsa.
Walaupun memiliki pentadbiran sendiri, status Somaliland kekal sebagai sebahagian daripada Republik Persekutuan Somalia di bawah undang-undang antarabangsa.
Isu Somaliland kembali menjadi perhatian antarabangsa susulan langkah Israel mengumumkan pengiktirafan terhadap wilayah tersebut, satu tindakan yang mencetuskan bantahan meluas daripada negara-negara Islam dan Afrika.
Kritikan turut tertumpu kepada kebimbangan pengiktirafan itu boleh membuka ruang kepada pelanggaran prinsip kedaulatan wilayah serta digunakan sebagai justifikasi untuk cadangan penempatan semula atau pemindahan paksa rakyat Palestin dari Gaza.
Dalam sidang media sama, Anwar turut menyentuh isu Gaza dengan memberikan penegasan bahawa keganasan dalam skala besar tidak boleh berulang lagi susulan perbincangan terbaharu di Florida mengenai fasa seterusnya proses damai.
"Keganasan berterusan akan mengorbankan orang awam pada skala yang tidak dapat diterima dan terus melemahkan prospek damai yang sedia rapuh," katanya.
Beliau menegaskan Israel mesti dipertanggungjawabkan atas tindakan serta kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa.
Dalam pada itu, Malaysia yang menerajui kepengerusian ASEAN mengalu-alukan persetujuan antara Kemboja dan Thailand untuk memperkukuh gencatan senjata melalui rundingan langsung yang diadakan di China, demikian kata Anwar.
Beliau memuji tindakan pantas kedua-dua negara beralih daripada pemberhentian permusuhan kepada perbincangan susulan secara tersusun yang mencerminkan keazaman politik untuk mengelakkan konflik berulang.
"Peralihan pantas daripada pemberhentian permusuhan kepada perbincangan susulan yang berstruktur mencerminkan keazaman untuk mencegah konflik berulang dan menstabilkan keadaan secara lebih berkekalan," katanya pada sidang media sama.
Anwar turut merakamkan penghargaan terhadap peranan China sebagai tuan rumah rundingan sambil menekankan kepentingan usaha pemudah cara dalam meredakan ketegangan dan membina semula keyakinan antara pihak terlibat.
"Pemudahcaraan sebegini amat bernilai apabila ia mengelakkan peningkatan ketegangan dan mengukuhkan usaha serantau," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengiktiraf peranan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump membantu merintis Perjanjian Damai Kuala Lumpur sehingga membuka laluan kepada pemberhentian permusuhan.
"Penglibatan tersebut telah mewujudkan ruang politik yang membolehkan pihak-pihak berkenaan berundur daripada konfrontasi dan komited kepada sikap menahan diri," katanya.
Menyentuh situasi di Myanmar, Anwar berkata para pemimpin ASEAN akan terus menilai perkembangan dengan penuh berhati-hati termasuk langkah berkaitan proses politik dengan menekankan keperluan pendekatan berperingkat.
"Sebarang penilaian akan dipandu oleh keperluan untuk mengurangkan keganasan, mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan perpecahan atau memberikan legitimasi pramatang serta mengekalkan kemungkinan laluan ke hadapan yang inklusif dan berwibawa," katanya.









Comments