Malaysia sokong dialog AS-Iran anjuran Pakistan akhiri konflik Asia Barat
- Redzuan Shamsudin

- 8 minutes ago
- 2 min read

Malaysia menyambut baik tawaran Pakistan untuk menjadi tuan rumah dialog antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, dalam usaha meredakan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tawaran tersebut merupakan langkah tepat dan diharap membawa penyelesaian kepada konflik yang telah sebulan berlarutan.
"Saya mengalu-alukan tawaran Pakistan yang tepat pada masanya dan bersifat konstruktif untuk menjadi tuan rumah dialog antara Amerika Syarikat dan Iran," katanya.
Beliau turut memuji Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif serta pemimpin negara sahabat lain yang tampil ke hadapan dalam situasi genting, termasuk usaha terdahulu oleh Oman.
Menurut Anwar, kedudukan Pakistan sebagai suara yang diyakini dalam dunia Islam serta hubungannya dengan pihak berkepentingan meletakkan negara itu dalam posisi kukuh untuk membantu mewujudkan keadaan bagi rundingan berkesan.
Malaysia, katanya, menyokong penuh inisiatif tersebut dan menggesa Amerika Syarikat serta Iran untuk memberikan respons dalam semangat yang sama.
"Saya mengambil maklum dengan harapan berhati-hati terhadap isyarat, walaupun belum lengkap, yang menunjukkan masih terdapat ruang untuk diplomasi. Ruang tersebut harus dimanfaatkan dengan kesungguhan yang sewajarnya," katanya.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan bahawa sebarang rundingan perlu dilaksanakan dengan niat tulen untuk menamatkan konflik, bukan sekadar mengawal keadaan bagi kepentingan taktikal.
"Komuniti antarabangsa telah menyaksikan terlalu banyak gencatan senjata yang sekadar menjadi jeda, bukannya penamat. Rantau ini berhak mendapat penyelesaian yang lebih berkekalan," katanya.
Dalam pada itu, Malaysia turut menegaskan hak Iran untuk mempertahankan kedaulatannya di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya berdepan serangan berterusan oleh Israel di Iran dan Lubnan.
Namun begitu, beliau menyeru semua pihak supaya menahan diri dan memastikan keselamatan orang awam serta infrastruktur negara jiran, terutama negara-negara Teluk, tidak terjejas.
Pada masa sama, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketidakkonsistenan dalam pelaksanaan undang-undang antarabangsa oleh sesetengah pihak yang lebih memihak kepada kuasa besar.
"Undang-undang antarabangsa tidak boleh digunakan secara terpilih. Ia tidak boleh melindungi satu pihak daripada pertanggungjawaban sambil menafikan hak pihak lain untuk mempertahankan diri. Kredibilitinya bergantung kepada konsistensi," ujarnya.
Selain itu, Perdana Menteri juga memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin Majlis Kerjasama Teluk, Turki, Mesir, Indonesia, Jepun dan Pakistan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai situasi semasa dengan lebih mendalam. Katanya, Malaysia akan terus menyokong setiap usaha yang berwibawa ke arah keamanan yang adil dan berkekalan.




Comments