Hutang meningkat: Kenyataan Tun Faisal tidak berasas, kerajaan kurangkan defisit
- Akmal Manaf

- 2 hours ago
- 2 min read

Kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berhubung kononnya berlaku peningkatan hutang negara pada era Kerajaan MADANI ditempelak Angkatan Muda KEADILAN Pusat sebagai tidak berasas dan mengelirukan.
Ketua Penerangannya, Danish Hairudin berkata, dakwaan tersebut dibuat secara selektif tanpa mengambil kira keseluruhan realiti fiskal negara.
Beliau berkata, dalam keadaan belanjawan yang masih mencatat defisit, peningkatan hutang secara nominal bukanlah sesuatu yang luar biasa.
"Namun, ukuran sebenar kebertanggungjawaban sesebuah kerajaan bukanlah semata-mata terletak pada pertambahan hutang, tetapi pada keupayaannya mengurangkan defisit, memperkukuh hasil, mengawal kos pembiayaan serta memastikan nisbah hutang kepada KDNK berada pada landasan yang lebih mampan.

"Dalam hal ini, Kerajaan MADANI telah menunjukkan disiplin fiskal yang jelas. Defisit fiskal negara berjaya dikurangkan secara konsisten daripada -5.0% daripada KDNK pada 2023, kepada -4.1% pada 2024, dan seterusnya -3.7% pada 2025.
"Malah, bagi dua tahun berturut-turut, kerajaan berjaya mencatat defisit fiskal yang lebih baik daripada unjuran asal, iaitu 4.1% berbanding sasaran 4.3% pada 2024, dan 3.7% berbanding sasaran 3.8% pada 2025," katanya dalam kenyataan hari ini.
Fakta tersebut katanya, membuktikan bahawa Kerajaan MADANI bukan sekadar berbelanja, tetapi mengurus kewangan negara dengan disiplin dan hala tuju yang jelas.
Pada masa yang sama ujar Danish, usaha penstrukturan fiskal yang dilaksanakan tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
"Sebaliknya, ekonomi negara terus berkembang dengan kukuh, dengan pertumbuhan 3.6% pada 2023, meningkat kepada 5.1% pada 2024, dan 5.2% pada 2025.
"Ini menunjukkan bahawa kerajaan berjaya melaksanakan pembaharuan fiskal secara berhemah tanpa menjejaskan momentum pertumbuhan.
"Kerajaan MADANI juga tidak memilih jalan mudah dengan mengenakan langkah drastik yang boleh menekan rakyat dan menjejaskan pemulihan ekonomi.
"Sebaliknya mengambil pendekatan yang seimbang melalui reformasi fiskal yang tersusun, termasuk pelaksanaan subsidi bersasar, bagi mengurangkan ketirisan, memperbaiki kecekapan perbelanjaan awam dan memastikan bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan," katanya lagi.
Dalam kenyataan sama, Danish yang juga Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kota Raja menegaskan agar fakta tidak diputar belit dan konteks tidak disembunyikan semata-mata untuk meraih modal politik.
Beliau menegaskan bahawa data tidak pernah menipu, sebaliknya yang mengelirukan ialah tafsiran politik yang disengajakan.
Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal dilapor berkata bahawa pengurusan hutang negara di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim kurang berkesan berbanding era kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, meskipun negara berhutang ketika pandemik dan endemik Covid-19 yang lalu, namun impaknya jelas membantu meringankan beban rakyat serta merancakkan ekonomi.




Comments