Malaysia seru kerjasama global lindungi hak pekerja di APEC
- Suara Keadilan
- May 13
- 1 min read

Malaysia menegaskan kepentingan kerjasama rentas sempadan dalam perkongsian idea, amalan terbaik dan dasar untuk melindungi kebajikan pekerja pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pembangunan Sumber Manusia APEC ke-7 (HRDMM).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menyeru agar komitmen tidak berbelah bahagi diberikan dalam melindungi hak dan kebajikan pekerja, selain menggesa semua ekonomi untuk mempertahankan prinsip tersebut termasuk dalam urusan perdagangan dan pelaburan.
"Kebajikan golongan pekerja merupakan agenda penting yang mahu dilaksana Kerajaan MADANI.
"Tiada perjanjian perniagaan yang patut mengorbankan kebajikan pekerja dan tiada ekonomi patut dihukum kerana mengutamakan perlindungan pekerja," katanya menerusi ucapan di Mesyuarat itu yang diadakan di Korea Selatan semalam.
Sim mengetuai delegasi Malaysia ke HRDMM di Jeju, iaitu penganjuran pertama selepas 11 tahun dengan edisi terakhir diadakan di Vietnam pada 2014.
Mesyuarat berkenaan diadakan bersempena dengan APEC yang bertemakan "Kemampanan Pasaran buruh dan Pekerjaan Masa Hadapan'.
Pada ucapannya Sim turut menekankan keperluan penggunaan data untuk memahami perubahan pasaran pekerjaan, sambil berkongsi dapatan Kajian Impak AI, Digital dan Ekonomi Hijau terhadap Pekerja Malaysia oleh TalentCorp
"Melalui mesyuarat ini, saya mendapat manfaat daripada pengalaman ekonomi anggota lain dalam merangka dasar berkaitan pekerja, sebagai persediaan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Pekerja Gig tahun ini.
"Saya amat menghargai peluang untuk terus memperoleh ilmu dan pandangan daripada rakan-rakan di ASEAN serta negara lain," katanya dipetik.
Comments