
Negara seharusnya menjadi lebih baik daripada keadaan sekarang sekiranya kerajaan Pakatan Harapan dibenarkan terus memerintah sehingga genap sepenggal.
Menurut Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai, tahun 2020 sepatutnya Malaysia telah melangkah ke era wawasan yang lebih gemilang.
Namun katanya, Langkah Sheraton oleh sekelompok politikus terdesak menyebabkan negara kekal berada dalam situasi yang muram.
"Dua tahun telah berlalu dan negara kita masih berada di atas landasan terumbang ambing. Sehingga hari ini, Malaysia belum lagi mencapai kemenangan muktamad dalam perang melawan Covid 19, bertambah pula isu bencana banjir, kepincangan pentadbiran yang amat mengecewakan, juga pembangunan ekonomi yang terbantut.
"Agenda reformasi mampu membina semula negara. Itu merupakan matlamat yang diidamkan oleh rakyat Malaysia pada hari kemenangan PH pada PRU 14 lalu apabila rakyat yang dahagakan keadilan menolak rejim korup.
"Sayang sekali, kemenangan tidak mampu bertahan apabila berlakunya pengkhianatan demi kepentingan diri sendiri. Kesan pengkhianatan itu masih lagi terasa. Isu demi isu, masalah demi masalah – pentadbiran negara masih rapuh dan kurang memanfaatkan rakyat Malaysia," katanya dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina, hari ini.
Bagaimanapun, menurut Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju itu, diharapkan semangat tahun harimau kali ini akan membawa kelainan dan rakyat akan bangkit lagi sebagaimana sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.
"Dalam budaya Cina, harimau adalah simbol keberanian, kekuatan dan ketabahan. Kedatangan Tahun Harimau ini, kita harus mencontohi semangat pasukan bolasepak ‘Harimau Malaya’ pada satu ketika pernah menyatukan rakyat dan membawa patriotisme mantap.
"Ayuh! 2022, mari kita maju ke hadapan, semaikan iltizam demi mencorakkan Malaysia ke arah yang lebih megah," katanya.