Malaysia sasar jadi hab logistik dunia, pelabuhan, rel dan kargo udara


Malaysia menyasarkan menjadi hab logistik bertaraf dunia dengan memperkukuh rangkaian pengangkutan darat, laut dan udara bagi meningkatkan nilai tambah perdagangan antarabangsa dengan bukan sekadar menjadi laluan transit kargo.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata strategi itu dilaksanakan menerusi pelaburan infrastruktur berskala besar termasuk projek Westports 2, perancangan pelabuhan mega di Pulau Carey serta pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan rangkaian pengangkutan kargo kereta api.
"Barangan tiba dari seluruh dunia, memperoleh nilai tambah di bumi Malaysia sebelum dihantar ke pasaran yang jauh lebih luas.
"Selat Melaka telah menjadi laluan utama perdagangan sejak berabad-abad lamanya. Kini, cita-cita kita adalah memperluas kelebihan tersebut merangkumi pengangkutan darat, laut dan udara bagi menjadikan Malaysia sebuah hab logistik bertaraf dunia," katanya ketika berucap merasmikan Pusat Pengedaran Global (GDC) baharu Daiso di Pulau Indah, Klang semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Pelabuhan Klang mengendalikan rekod sebanyak 15.1 juta unit bersamaan kontena 20 kaki (TEU) pada tahun lalu sekali gus meletakkannya antara 10 pelabuhan kontena paling sibuk di dunia.
Kata beliau projek Westports 2 pula bakal meningkatkan hampir dua kali ganda kapasiti Westports manakala kerajaan turut merancang pembangunan sebuah pelabuhan mega di Pulau Carey.
Di samping itu, kata beliau ECRL dan rangkaian pengangkutan kargo kereta api akan meningkatkan penghantaran barangan ke pelabuhan serta mengurangkan kebergantungan kepada pengangkutan melalui lebuh raya.
"Bagi sektor udara, kerajaan turut memperluas kapasiti lapangan terbang dan pengendalian kargo udara.
"Menerusi Dasar Pengangkutan Negara yang diperbaharui, semua kemudahan ini akan beroperasi sebagai satu sistem pengangkutan bersepadu," jelas beliau.
Dalam pada itu, kata Anwar, pemilihan Pulau Indah sebagai lokasi pusat pengedaran global terbesar Daiso di dunia membuktikan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kestabilan ekonomi, kematangan infrastruktur dan potensi jangka panjang Malaysia.
Menurut beliau, pusat berkenaan bukan sahaja membawa masuk teknologi dan kepakaran logistik termaju malah memastikan aktiviti pengendalian, penyimpanan, pengasingan dan pembungkusan semula barangan dilakukan di Malaysia sebelum dihantar ke pasaran antarabangsa.
"Apabila sebuah syarikat seperti Daiso memilih Pulau Indah untuk menjadi lokasi Pusat Pengedaran Global terbesarnya di seluruh dunia, ia merupakan pengiktirafan dan keyakinan yang jelas terhadap kestabilan ekonomi Malaysia, kematangan infrastruktur serta potensi jangka panjang negara," katanya.
Dalam hal ini, Anwar menegaskan kerajaan tidak mengukur kejayaan berdasarkan nilai pelaburan yang berjaya ditarik masuk semata-mata sebaliknya turut menilai penciptaan pekerjaan bergaji lebih baik, pembangunan keupayaan tempatan, kerjasama dengan pembekal Malaysia dan kelestarian pembangunan.
Kata beliau pendekatan itu selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang memberi penekanan kepada aktiviti bernilai tinggi, pekerjaan berkemahiran serta perkongsian dengan syarikat tempatan.
Jelasnya Daiso turut melibatkan rakan niaga Malaysia termasuk PKT Logistics Group dan syarikat pengangkutan domestik dalam operasi pergudangan, pengangkutan serta pengedaran.
Kerjasama itu berupaya meningkatkan keupayaan syarikat tempatan, menggalakkan pemindahan teknologi dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada golongan muda, katanya.
Dalam jangka panjang, kata Anwar kerajaan berharap lebih banyak produk buatan Malaysia dapat dipasarkan menerusi rangkaian kedai Daiso di seluruh dunia.
Perdana Menteri turut memaklumkan pembinaan pusat pengedaran berkenaan disiapkan lebih awal daripada jadual dengan kos lebih rendah daripada peruntukan asal.
"Pencapaian ini merupakan hasil usaha cemerlang pihak syarikat dan kontraktor terlibat selain membuktikan keberkesanan system penyampaian awam di negara ini," ujarnya.




Comments