top of page

Malaysia sasar duduki kerusi Majlis ITU penggal 2027 - 2030

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read
Datuk Fahmi menyampaikan Kenyataan Negara pada Segmen Peringkat Tinggi Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia 2025 (WTDC-25) di Baku, Azerbaijan
Datuk Fahmi menyampaikan Kenyataan Negara pada Segmen Peringkat Tinggi Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia 2025 (WTDC-25) di Baku, Azerbaijan

Malaysia menegaskan komitmen untuk terus menyokong mandat global Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).


Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Malaysia menyasarkan untuk menduduki semula kerusinya dalam Majlis ITU bagi penggal 2027-2030 dan akan terus mempromosi akses digital sejagat dan mampu milik melalui kerjasama strategik.


"Visi kami tetap jelas iaitu membina masa depan digital di mana semua orang boleh kekal berhubung, inklusif serta selamat pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.


"Justeru itu, Malaysia dengan rendah hati memohon sokongan semua negara anggota untuk mencalonkan kami ke Majlis ITU bagi penggal 2027-2030," katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Segmen Peringkat Tinggi Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia 2025 (WTDC-25) di Baku, Azerbaijan.


Pada acara itu, Fahmi turut berkongsikan fokus Malaysia dalam usaha memperkukuh kepercayaan digital dan ketahanan keselamatan siber, selain memajukan pembangunan keupayaan dan kemahiran digital untuk semua.


Beliau turut menegaskan komitmen Malaysia memperkukuh kerjasama serantau dan pelbagai pihak berkepentingan demi mewujudkan ekonomi digital yang inklusif.


"Malaysia sedang giat memperluas akses jalur lebar, meningkatkan keterjangkauan dan memupuk kelestarian digital menerusi inisiatif Partner2Connect (P2C), termasuk JENDELA, NADI, dan Projek KITAR.


"Kami berasa bangga kerana Jendela dan Nadi telah diiktiraf sebagai antara pemenang Hadiah Sidang Kemuncak Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WSIS) sekali gus memperkukuh kepercayaan Malaysia bahawa keterangkuman digital dan inovasi adalah kunci ke arah memperkasakan rakyat serta mengubah kehidupan.


"Malaysia juga mempelopori Garis Panduan Penggunaan Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab bertujuan memperkukuh kesedaran keselamatan siber mengenai risiko dalam talian antaranya penipuan, pembulian siber dan eksploitasi kanak-kanak melalui Kempen Keselamatan Dalam Talian (KIS)," tambahnya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page