Malaysia rekod pelaburan RM285.2 bilion, salur manfaat kepada rakyat - PM
- Suara Keadilan
- 7 hours ago
- 2 min read

Malaysia mencatat kelulusan pelaburan berjumlah RM285.2 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini meningkat 13.2 peratus sekali gus mengatasi semua rekod pencapaian pra-Covid 19 antara 2006 hingga 2020.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pencapaian itu mencerminkan pertumbuhan ekonomi sekali gus membawa manfaat langsung kepada rakyat.
"Pelaburan yang diluluskan ini bukan sekadar mencatat angka pertumbuhan ekonomi, tetapi diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat melalui pewujudan peluang pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan serta kesejahteraan hidup," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata hala tuju pelaburan di bawah Kerajaan MADANI memberi penekanan kepada sektor bernilai tinggi dan berimpak strategik bagi membina asas ekonomi yang lebih kukuh dan berdaya tahan.
"Kerajaan MADANI kekal komited memastikan setiap pelaburan yang dibawa masuk memberi pulangan berterusan kepada rakyat serta membina asas ekonomi negara yang lebih berdaya saing, inklusif dan mampan untuk masa hadapan," katanya lagi.
Berdasarkan infografik rasmi yang dikongsi Perdana Menteri menyatakan pelaburan asing (FDI) menyumbang RM150.8 bilion atau 52.9 peratus daripada jumlah keseluruhan, meningkat 47.5 peratus, manakala pelaburan domestik (DDI) kekal kukuh pada RM134.4 bilion atau 47.1 peratus.
Secara keseluruhan, sebanyak 4,874 projek telah diluluskan.
Sektor bernilai tinggi menyumbang RM137.9 bilion atau 48.4 peratus daripada jumlah pelaburan dengan sektor perkhidmatan muncul sebagai penyumbang terbesar bernilai RM99.8 bilion, dipacu subsektor maklumat dan komunikasi termasuk pembangunan hab pusat data Asia.
Sektor Elektrikal dan Elektronik (E&E) merekodkan pelaburan RM22.0 bilion, mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai cip global manakala sektor kimia dan produk kimia menyumbang RM17.5 bilion melalui aktiviti petrokimia termaju.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan MADANI turut meluluskan beberapa projek ikonik 2025 berimpak tinggi, termasuk pelaburan RM1.7 bilion di Pulau Pinang bagi pengujian litar bersepadu dan modul termaju, serta projek biopenapisan di Johor bernilai RM6.0 bilion yang memfokuskan tenaga hijau dan bahan api penerbangan mampan.





